PETALING JAYA: Malaysia melonjak tujuh anak tangga ke kedudukan ke-27 daripada 70 ekonomi dalam IMD World Digital and AI Ranking (WDAIR) 2026, berbanding tempat ke-34 tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu turut meletakkan Malaysia sebagai negara kedua terbaik di ASEAN selepas Singapura.
Menurutnya, peningkatan tersebut didorong oleh prestasi negara dalam beberapa bidang utama, khususnya penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang melonjak 21 anak tangga ke kedudukan ke-14 dunia.
“Kecekapan turut melonjak 10 anak tangga ke kedudukan ke-28, manakala pelaksanaan strategi AI nasional berada di tangga ke-12,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Anwar berkata, Malaysia turut mencatatkan kedudukan ke-18 bagi pembangunan tenaga kerja, kedua dunia bagi graduan sains dan kelima dalam modal teroka.
Katanya, negara juga berada di kedudukan keenam dunia bagi eksport berteknologi tinggi serta kelapan bagi insentif pelaburan AI.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 (Negara AI 2030) menyasarkan pewujudan sehingga 300,000 pekerjaan baharu berkaitan AI menjelang 2030.
Menurutnya, kedua-dua pelan itu turut menyasarkan sumbangan tambahan sehingga 1.2 mata peratusan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dalam tempoh sama.
“Melalui Belanjawan MADANI 2027, sebanyak RM30 juta disediakan menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi membantu 4,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerapkan AI dan mengautomasi operasi.
“Peruntukan itu juga bertujuan melatih serta memperakui 5,000 profesional AI, selain menyediakan tambahan 100,000 langganan AI percuma kepada golongan muda,” katanya. – UTUSAN











