Pas, Gerakan Pulau Pinang tidak mahu rombakan Kabinet, perlu bubar Parlimen

Pas, Gerakan Pulau Pinang tidak mahu rombakan Kabinet, perlu bubar Parlimen

MUHAMMAD FAWWAZ MOHAMAD JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan tidak seharusnya menjadikan rombakan Kabinet sebagai jalan penyelesaian kepada kelemahan pentadbiran negara, sebaliknya perlu memberi peluang kepada rakyat menentukan semula kepimpinan melalui pembubaran Parlimen.

Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, mandat baharu perlu dikembalikan kepada rakyat bagi membolehkan mereka memilih kerajaan yang diyakini mampu membawa perubahan kepada negara.

Menurutnya, rombakan Kabinet bukanlah penyelesaian kepada segala kelemahan pentadbiran dan dasar kerajaan yang berlaku ketika ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

”Rakyat sedang berdepan dengan pelbagai tekanan hidup, khususnya kos sara hidup yang tinggi dan beban ekonomi yang semakin dirasai.

”Justeru, kerajaan perlu memberikan jawapan yang lebih menyeluruh terhadap permasalahan ini dengan membubarkan Parlimen, bukan sekadar menukar beberapa orang Menteri,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan berkaitan cadangan rombakan Kabinet susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berpandangan tiada keperluan untuk berbuat demikian, sebaliknya mencadangkan Parlimen dibubarkan bagi mendapatkan mandat baharu rakyat.

Mengulas lanjut, Muhammad Fawwaz berkata, pilihan raya umum adalah ruang terbaik untuk rakyat menilai prestasi kerajaan sepanjang tempoh pentadbiran serta menentukan pihak yang mereka mahu untuk menerajui negara.

Katanya, dalam sistem demokrasi suara dan mandat rakyat perlu sentiasa dihormati kerana mereka mempunyai hak untuk menentukan hala tuju kepimpinan negara.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, pembubaran Parlimen lebih wajar dipertimbangkan berbanding melakukan rombakan Kabinet yang disifatkan hanya membuang masa.

Menurutnya, kuasa sewajarnya dikembalikan kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baharu menerusi pilihan raya umum.

Beliau berkata, rakyat ketika ini berdepan pelbagai masalah kehidupan, khususnya tekanan ekonomi yang memerlukan penyelesaian lebih menyeluruh daripada kerajaan.

Katanya, tempoh hampir empat tahun pentadbiran kerajaan ketika ini sudah memadai untuk rakyat menilai prestasi kepimpinan dan membuat pilihan baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini