MELAKA: Pas menyelar kenyataan pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli yang mendakwa kerjasama politik dengan UMNO tidak akan bertahan melebihi tiga tahun.
Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail berkata, semua pihak yang berusaha menjayakan penyatuan mempunyai komitmen untuk memastikan kerjasama dapat dipertahankan dalam jangka panjang.
“Itu pandangan daripada orang yang tidak suka kepada penyatuan ini.
“Adapun kita yang berusaha untuk mewujudkan penyatuan ini, bukan tiga tahun, kita akan pastikan selama-lamanya, insya-Allah,” katanya dalam sidang akhbar bersama pemimpin Perikatan Nasional (PN) di Semabok di sini semalam.
Sebelum ini, Mohd. Rafizi mendakwa sejarah kerjasama UMNO dan Pas menunjukkan kedua-dua parti itu tidak mampu berkongsi kuasa melebihi tiga tahun.
Menurutnya, UMNO mempunyai kecenderungan untuk mendominasi kerjasama politik dan sukar menerima kedudukan di bawah parti lain.
“Bila UMNO kuat dan dia memang rasa bahawa dia tak boleh berada di bawah orang lain.
“UMNO tidak ditubuhkan untuk berkongsi kuasa. Itu sifat dia sampai bila-bila. Pengajaran itu juga akan dilalui oleh Pas sekali lagi,” katanya. – UTUSAN









