Dikurniakan wajah tampan dan penampilan moden mungkin dianggap satu kelebihan buat seseorang pelakon, namun bagi Malek Mccrone, kelebihan fizikal itu ada kalanya menjadi kekangan untuk meneroka watak yang lebih pelbagai.
Biarpun sering dilihat sesuai membawakan karakter lelaki urban atau daripada golongan berada, pelakon berusia 32 tahun itu tidak menafikan pernah menerima maklum balas bahawa wajahnya kurang sesuai untuk menghidupkan watak lelaki kampung.
Menurut Malek, dia tidak pernah menganggap perkara itu sebagai satu bentuk penolakan terhadap kemampuan lakonannya, sebaliknya memahami bahawa setiap karakter mempunyai keperluan dan kesesuaian tersendiri.
“Saya mendapat tahu perkara itu daripada pengurus yang banyak menghantar profil saya kepada pihak produksi untuk sesi uji bakat.
“Kadang-kadang ada agensi atau syarikat produksi yang memberikan komen mengenai penampilan saya. Rakan saya yang juga seorang model, Ezaidi Aziz, dia juga menerima maklum balas sama.
“Tetapi bagi saya, bukanlah kerana wajah terlalu kacak, sebaliknya penampilan kami mungkin tidak sesuai dengan watak yang sedang dicari.
“Apabila mendengar komen seperti itu, mungkin kedengarannya agak menarik, tetapi sebenarnya ia hanya berkaitan kesesuaian seseorang pelakon dengan karakter,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Enggan terus dibayangi karakter lelaki moden dan mewah, pelakon berusia 32 tahun itu menyimpan hasrat untuk menjayakan watak yang lebih kompleks, khususnya dalam genre aksi dan karya berteraskan kemanusiaan.
“Saya belum pernah berlakon dalam filem aksi. Jadi, itu antara genre yang saya mahu cuba. Selain itu, saya juga berminat dengan karya yang mempunyai mesej kemanusiaan dan memberi inspirasi kepada masyarakat.
“Saya suka menonton sebuah filem Taiwan berjudul Big World yang mengangkat kisah individu dengan cerebral palsy. Saya sangat kagum dengan karya seperti itu.
“Tidak semestinya saya perlu membawa watak orang kurang upaya, tetapi saya mahu memainkan karakter yang sering dipandang rendah atau berdepan stereotaip masyarakat. Saya suka kisah yang memberi inspirasi dan dekat dengan kehidupan masyarakat.
“Tidak semestinya daripada rupa, tetapi situasi yang boleh dikaitkan dengan kehidupan sebenar. Bagi saya, sesebuah karya tidak semestinya perlu terlalu mengikut trend atau mengejar perkara yang tular,” jelasnya.
Isteri faham tuntutan kerjaya
Selepas sebulan mendirikan rumah tangga, pelakon itu mengakui bersyukur kerana mempunyai pasangan yang memahami tuntutan kerjayanya, termasuk keperluan membawakan watak yang melibatkan interaksi fizikal dengan pelakon wanita.
Bagaimanapun, status sebagai suami membuatkan dia lebih peka terhadap batas pergaulan, selain memastikan setiap keputusan dalam kerjaya tidak mengguris perasaan isterinya.
“Saya rasa dalam industri lakonan Malaysia, kita tidak sampai ke tahap seperti di Hollywood yang mempunyai babak bercium dan sebagainya. Saya sendiri tahu batas yang perlu dijaga kerana saya seorang Muslim. Pada masa sama, saya juga perlu menjaga hati isteri.
“Kalau saya membawa watak sebagai suami atau bapa dan ada babak yang memerlukan sedikit sentuhan untuk menghidupkan karakter, isteri memahami perkara itu.
“Dia tahu semuanya dilakukan atas tuntutan watak. Dari segi kerjaya, dia sangat memahami, menyokong dan gembira dengan apa yang saya lakukan,” tegasnya.
Dalam kesibukan menyesuaikan diri dengan kehidupan berumah tangga, Malek turut menikmati perkembangan positif dalam kerjaya lakonannya selepas melalui tempoh yang agak panjang tanpa tawaran.
“Selepas Good Boys Go To Heaven ditayangkan pada Mei lalu, alhamdulillah tawaran mula datang satu demi satu. Setakat ini, saya sudah menerima kira-kira lima tawaran lakonan.
“Saya juga banyak dibantu oleh jurulatih lakonan, Abang Wan dan pengarah Ariff Zulkarnain yang membantu saya memahami bagaimana untuk berlakon dengan seikhlas hati,” katanya.











