SPR perkukuh keselamatan sistem hadapi PRN Melaka, Sarawak

SPR perkukuh keselamatan sistem hadapi PRN Melaka, Sarawak

KHAIRUL SHAHRIL IDRUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkukuh langkah keselamatan sistem digital bagi memastikan kelancaran urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak, susulan ancaman siber yang menjejaskan capaiannya baru-baru ini.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, tindakan bersama diselaras dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Jabatan Digital Negara (JDN), sejak risiko ancaman dikenal pasti.

Beliau berkata, langkah keselamatan tambahan dan tindakan mitigasi sedang dilaksanakan secara berterusan bagi mengelakkan sebarang ancaman, selain meningkatkan daya tahan sistem digital SPR, khususnya menjelang kedua-dua PRN.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Langkah-langkah keselamatan tambahan dan tindakan mitigasi sedang dilaksanakan secara berterusan bagi mencegah sebarang ancaman serta memperkukuh daya tahan sistem SPR khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka dan Sarawak,” katanya.

Khairul Shahril berkata, SPR turut menyediakan beberapa saluran alternatif bagi memudahkan pengundi di kedua-dua negeri menyemak pusat mengundi masing-masing sekiranya berdepan masalah mengakses sistem digital.

Katanya, semakan boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal rasmi SPR atau aplikasi MySPR Semak, selain menghubungi Pusat Panggilan SPR di talian 03-8892 7218 yang beroperasi setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad, dari pukul 9 pagi hingga 8 malam.

Menurutnya, pengundi juga boleh membuat semakan secara fizikal di barung semakan pusat mengundi yang disediakan pada hari pengundian.

SPR turut menasihatkan pengundi supaya membuat semakan lebih awal dan menyimpan tangkap layar atau maklumat pusat mengundi masing-masing bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Khairul Shahril berkata, keselamatan sistem dan kelancaran pengurusan pilihan raya sentiasa menjadi keutamaan SPR.

Beliau berkata, SPR akan terus memperkukuh kesiapsiagaan serta kerjasama dengan NACSA, MKN, JDN dan agensi berkaitan bagi memastikan sistem pilihan raya negara kekal selamat serta berdaya tahan.

“SPR komited untuk memastikan urusan pilihan raya berjalan dengan lancar, cekap, teratur dan telus serta keyakinan rakyat terhadap pengurusan pilihan raya negara sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini