KUALA TERENGGANU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berpotensi menjadi penanda aras kepada kerjasama lebih meluas antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di seluruh negara, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkembangan positif kerjasama antara kedua-dua gabungan itu dalam menghadapi PRN Melaka ketika ini dilihat lebih baik dan harmoni berbanding apa yang berlaku pada pilihan raya di Negeri Sembilan sebelum ini.
Menurutnya, kerjasama erat antara jentera PN dan BN diyakini mampu membuahkan keputusan terbaik dalam PRN Melaka sekali gus membuka ruang kepada kerjasama politik yang lebih menyeluruh pada masa hadapan.
“Kita dapat melihat kerjasama bersama jentera BN dan PN berada pada tahap lebih baik berbanding apa yang berlaku sebelum ini dalam pilihan raya di Negeri Sembilan.
“Saya percaya suasana yang sangat harmoni dan kerjasama yang dibina itu akan membuahkan keputusan terbaik dalam pilihan raya di Melaka, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, di sini.
Ahmad Samsuri berkata, beliau optimis terhadap peluang pembentukan kerajaan bersama BN dan PN di Melaka berdasarkan perkembangan serta kecenderungan sokongan rakyat ketika ini.
Katanya, keputusan PRN Melaka bukan sekadar menjadi penanda aras kepada kerjasama kedua-dua gabungan itu, malah berpotensi mencetuskan kerjasama lebih meluas di seluruh negara.
“Saya percaya apa yang berlaku di Melaka bukan sekadar menjadi penanda aras, tetapi satu perkara yang boleh mencetuskan kerjasama lebih meluas di seluruh negara, terutama dalam menghadapi PRU16 nanti.
“Saya sangat optimis dengan keadaan yang ada ketika ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertimbangkan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya Parlimen dibubarkan berbanding melakukan rombakan Kabinet.
Katanya, pandangan Ahmad Zahid itu wajar dipertimbangkan memandangkan beliau merupakan antara individu paling hampir dengan pentadbiran kerajaan Persekutuan ketika ini.
“Saya tidak mahu pergi jauh untuk memberikan komen kerana yang menyatakan perkara itu ialah individu paling hampir dengan kerajaan Persekutuan pada hari ini.
“Jika dirasakan pandangan itu relevan, saya fikir ia satu perkara yang boleh dipertimbangkan oleh Perdana Menteri untuk tindakan selanjutnya.
“Kita serahkan kepada kerajaan pusat bagaimana untuk meneruskan apa yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri itu,” katanya. – UTUSAN








