Protes titah pengampunan bersyarat Najib boleh dianggap derhaka - Utusan Malaysia

Protes titah pengampunan bersyarat Najib boleh dianggap derhaka

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang tindakan memprotes titah Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dianggap sebagai mencabar dan menderhaka terhadap kuasa Perlembagaan Seri Paduka Baginda.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan pengampunan bersyarat yang membawa kepada pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu merupakan hak dan kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang wajib dihormati semua pihak.

“UMNO berpendirian sebarang perbuatan yang memperlihatkan unsur-unsur protes termasuk menjadikan keputusan pengampunan bersyarat yang dititahkan sebagai alasan sesuatu tindakan diambil, ia boleh membawa maksud kepada mencabar dan menderhaka terhadap kuasa Perlembagaan Tuanku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, UMNO merafak sembah menjunjung kasih atas ketegasan titah Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara tersebut.

Katanya, UMNO akan terus teguh mempertahankan kemuliaan dan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong serta institusi Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata, Malaysia merupakan sebuah negara hukum dan segala proses perundangan perlu dilaksanakan berlandaskan kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Selagi mana proses yang melibatkan soal perundangan tertakluk dalam kerangka Perlembagaan, menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk mempertahankannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini