PETALING JAYA: Penerbit, Datuk A. Aida menasihatkan kaum ibu agar bersikap lebih terbuka dalam menyokong setiap keputusan yang dilakukan oleh anak-anak yang semakin meningkat dewasa, terutama mengenai sesebuah perhubungan.
Menurut Aida, setiap wanita yang bergelar ibu juga perlu belajar untuk mengendalikan situasi yang melibatkan perihal anak-anak dengan baik agar setiap tindakan tidak memakan diri kemudian hari.
“Ibu perlu belajar untuk sentiasa menyokong anak-anak. Kalau anak berkawan atau memilih seseorang yang dia suka, ibu perlu belajar menerima walaupun mungkin bukan pilihan hati kita.
”Anak-anak sudah semakin dewasa, kita tidak boleh lagi mengawal setiap keputusan dan pilihan mereka.
“Kita boleh menasihati, membimbing dan mendoakan, tetapi jangan sampai kerana terlalu mahu mengawal, akhirnya kita kehilangan anak sendiri,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Dalam masa sama, penerbit filem Bisikan Nafsu itu berpendapat setiap ibu bapa seharusnya menjadi pemimpin anak-anak dalam menentukan hala tuju kehidupan tanpa menyekat kebebasan mereka.
”Ingat, anak bukan untuk kita kawal sepanjang hayat, tetapi untuk kita pimpin sehingga mereka mampu menentukan jalan hidup sendiri,” tegasnya.
Sementara itu, Aida sempat menitipkan ucapan buat puteri kesayangannya, Azeva Natassha bahawa dia sentiasa terbuka dengan keputusan anaknya lebih-lebih lagi melibatkan pasangan hidup.
“Buat puteri kesayanganku, Azeva, mama okey saja awak hendak kawan dengan sesiapa. Janji awak bahagia pun mama gembira,” ujarnya.











