BEIJING: Sebuah aplikasi peta digital yang membolehkan pelancong menanda lokasi hotel yang dicemari pepijat semakin mendapat sambutan di China, namun mencetuskan kontroversi berikutan kemudahan fungsi menandakan premis secara langsung.
Aplikasi terbaharu itu menarik lebih 200,000 pengguna yang menandakan lebih 600 hotel di seluruh China sejak ia mula dilancarkan secara rasmi pada 21 September lalu.
Menerusi sistem aplikasi berkenaan, mana-mana pengguna boleh menanda lokasi sesebuah hotel hanya dengan satu klik sekiranya mendakwa menemui serangga terbabit, di mana tanda berkenaan dapat dilihat oleh pengguna secara umum.
Laporan China Business News bagaimanapun mendedahkan beberapa pengurusan hotel tampil mempertahankan diri dengan mendakwa premis mereka ditanda secara tidak adil dan tanpa bukti yang sahih.
Pembangun aplikasi terbabit yang dikenali sebagai Wang dengan nama carian @AI maker menjelaskan matlamat utama platform berkenaan dihasilkan adalah untuk menyediakan saluran perkongsian maklumat awam.
”Secara jujurnya ia masih belum sempurna memandangkan saya membangunkan aplikasi ini secara bersendirian,” kata Wang yang juga merupakan seorang jurutera di sebuah syarikat pembuatan.
Wang yang tidak mempunyai latar belakang pengaturcaraan sebelum ini mendedahkan beliau mula menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menulis kod aplikasi berkenaan sejak Julai lalu.
Beliau mendapat ilham menghasilkan peta pepijat berkenaan selepas menjadi mangsa gigitan serangga terbabit sewaktu berpindah rumah pada musim panas yang lalu.
”Sebelum ini maklumat berkaitan hotel yang dicemari pepijat agak berselerak, menyebabkan pengguna terpaksa melaburkan banyak masa dan tenaga untuk membuat semakan demi mengelak premis berkenaan,” kata beliau lagi.
Pada peringkat awal pelancaran, pengguna tidak diwajibkan mengemukakan sebarang bukti gambar bagi menyokong dakwaan kehadiran pijat di sesebuah hotel yang ditanda.
Ekoran itu, aplikasi berkenaan pernah digantung perkhidmatannya sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu pada Oktober lalu berikutan menerima aduan rasmi yang tinggi daripada pihak pengurusan hotel.
Bagi mengatasinya, Wang kini mewajibkan pengguna memuat naik bukti sebelum laporan disahkan secara manual, selain menyediakan panduan visual bagi mengecam jenis serangga serta kesan gigitan.-AGENSI











