KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur membongkar aktiviti persundalan membabitkan gadis warga asing di sebuah hotel tiga bintang di Jalan Cheras di sini awal pagi ini.
Serbuan kira-kira pukul 1.05 pagi dijalankan Jabatan hasil maklumat dan risikan.
Ketika serbuan, beberapa wanita asing yang berpakaian seksi dikesan sedang leka melayan pelanggan di bilik ditetapkan.
Sebuah bilik hotel itu juga disyaki dijadikan tempat rehat gadis terbabit sementara menunggu pelanggan.
Difahamkan, kegiatan tidak bermoral itu ditawarkan menerusi aplikasi sosial dan pelanggan perlu membayar antara RM200 hingga RM230 sebelum diuruskan seorang lelaki tempatan disyaki berperanan sebagai ‘kapten’.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamsha Injau berkata, seramai lapan individu iaitu enam wanita dan dua lelaki ditahan dalam operasi berkenaan.
“Semakan mendapati wanita itu lima warga Indonesia dan seorang Thailand, manakala lelaki terbabit ialah warga tempatan disyaki ‘kapten’ dan warga Nepal merupakan pekerja di hotel berkenaan,” katanya.
Katanya, antara kesalahan warga asing terbabit ialah tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan dibuat berterusan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen.
Dalam pada itu, seorang gadis Indonesia dikenali sebagai Aqis, 21, mendakwa, dia datang ke Malaysia sejak April lalu sebagai pelancong.
“Kawan yang beritahu saya kerja di sini. Sehari biasa seorang sahaja pelanggan. Saya dapat komisen dalam RM100 untuk setiap pelanggan,” katanya.
Seorang wanita tempatan yang bekerja di kaunter hotel terbabit pula mendakwa mengetahui terdapat aktiviti persundalan terbabit namun enggan menceritakan lebih lanjut.
“Saya kerja sini sudah setahun dan sudah ada aktiviti tawaran seks ini,” katanya. – UTUSAN










