Citrawarna 2026: Lebih 40 hotel tawar promosi ekslusif

Citrawarna 2026: Lebih 40 hotel tawar promosi ekslusif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 40 hotel dan premis penginapan di sekitar Lembah Klang serta beberapa negeri menawarkan promosi penginapan eksklusif sempena penganjuran Citrawarna 2026 pada 24 hingga 26 Julai ini.

Tourism Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, tawaran istimewa itu merangkumi kadar bilik pada harga menarik serta pakej gabungan unik bagi memberikan pengalaman penginapan selesa kepada pengunjung.

Katanya, promosi berkenaan boleh ditempah mulai pertengahan Julai hingga pertengahan Ogos ini, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada pelawat yang merancang percutian singkat sempena festival tersebut.

“Selain tawaran penginapan, rangkaian hotel yang terlibat turut menyemarakkan festival ini menerusi inisiatif Citra Rasa dengan memperkenalkan hidangan yang diinspirasikan daripada warisan kulinari setiap negeri di Malaysia di kafe dan restoran hotel masing-masing.

“Menerusi inisiatif gastronomi asli ini, para pengunjung berpeluang menikmati kepelbagaian hidangan tradisional yang kaya dengan keunikan warisan rasa yang tersendiri,” katanya.

Menurut Tourism Malaysia, kerjasama antara pemain industri pelancongan mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf dunia.

“Langkah itu bukan sahaja memperkaya pengalaman pengunjung, malah menyokong pertumbuhan pelancongan inklusif, memperkasa komuniti tempatan serta meningkatkan daya tahan industri.

“Pada masa sama, langkah berkenaan turut memacu pembangunan ekonomi yang mampan sepanjang tempoh Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026),” katanya.

Citrawarna 2026 yang bertemakan ‘Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa’ akan berlangsung selama tiga hari dengan menampilkan kepelbagaian seni, budaya, warisan serta keindahan alam semula jadi Malaysia.

Acara itu dijangka menjadi platform unik kepada pengunjung domestik dan antarabangsa untuk merasai sendiri kekayaan identiti serta kepelbagaian budaya tanah air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN