KUALA LUMPUR: Acara gilang-gemilang Citrawarna 2026 kembali memeriahkan Dataran Merdeka di sini dengan menampilkan seramai 3,500 penari yang mewakili 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan serta pelbagai kaum di negara ini.
Menurut Tourism Malaysia, penganjuran acara utama sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) itu turut disokong oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Warisan Kuala Lumpur, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Istana Budaya dan Muzium Tekstil Negara.
Katanya, acara itu juga mempunyai empat komponen utama iaitu Citra Perarakan (Colours of Parade), Citra Rasa (Colours of Flavour), Citra Budaya (Colours of Culture) dan Citra Seni (Colours of Arts) yang mencerminkan komitmen bersama dalam mempromosikan pelancongan seni, budaya serta warisan Malaysia.
“Acara penuh warna-warni ini diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
“Selain persembahan kebudayaan, busana tradisional dan muzik, Citrawarna 2026 berjaya menarik lebih 700 pelancong antarabangsa menerusi pakej pelancongan khas dari pelbagai negara seperti China, India, Jepun, Itali, Perancis dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan.
Sepanjang tiga hari penganjurannya sehingga 26 Julai, pengunjung disajikan dengan lebih 70 gerai makanan dan minuman, 20 reruai aktiviti kebudayaan dan 10 reruai seni dan kraf tangan.
“Antara aktiviti interaktif yang disediakan termasuklah seni canting batik, anyaman ketupat, demonstrasi juadah tradisional dan permainan warisan yang dikendalikan oleh artisan tempatan.
“Acara ini turut dihiburkan dengan persembahan kontemporari artis terkenal tanah air seperti Ernie Zakri, Aina Abdul, Dr. Soo Wincci, Wani Kayrie, Bulan Asyraff, Santesh Kumar dan Kumpulan Balle-Balle,” katanya.
Program itu turut mengalu-alukan peserta Mega Fam Tourism Malaysia yang terdiri daripada media antarabangsa, wakil industri pelancongan dan pencipta kandungan bagi merasai sendiri pengalaman kebudayaan Malaysia, sekali gus memperkasakan promosi VM2026 di peringkat global. – UTUSAN










