Data peribadi 125,000 polis Jepun berisiko bocor

Data peribadi 125,000 polis Jepun berisiko bocor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Maklumat peribadi kira-kira 125,000 rekod milik pegawai polis dan kakitangan di 22 wilayah di Jepun berisiko terdedah susulan insiden kebocoran data membabitkan syarikat perkhidmatan maklumat bencana, Arcadia.

Agensi Polis Kebangsaan Jepun memaklumkan perkara itu semalam, dengan insiden berkenaan berpotensi menjejaskan hampir separuh daripada keseluruhan 47 pasukan polis wilayah di negara itu.

Kebocoran tersebut berlaku ketika beberapa syarikat Jepun daripada pelbagai sektor turut berdepan insiden keselamatan data yang serupa sejak kebelakangan ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Data yang berkemungkinan terdedah merangkumi nama dan alamat e-mel pegawai polis serta kakitangan lain di 22 pasukan polis wilayah terbabit.

Polis Kyoto dan Fukuoka serta pasukan polis di Shimane dan Yamaguchi turut mengalami kebocoran kira-kira 16,000 alamat e-mel penduduk yang berdaftar dengan perkhidmatan amaran keselamatan.

Bagaimanapun, Agensi Polis Kebangsaan Jepun mengesahkan tiada maklumat berkaitan siasatan polis yang terjejas dalam insiden berkenaan.

Sementara itu, IwaiCosmo Securities pada hari sama memaklumkan serangan siber terhadap sistem komputer syarikat kontraktor yang memproses pesanan dagangan firma broker berpangkalan di Osaka itu menyebabkan pesanan tanpa kebenaran dilaksanakan menerusi tujuh akaun pelanggan.

Serangan pada 14 Oktober itu menyasarkan sistem yang dikendalikan dan diselenggara oleh Trade Works, sebuah syarikat berpangkalan di Tokyo, namun tidak melibatkan pengambilalihan akaun pelanggan.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Minoru Kihara, berkata dalam sidang media Agensi Perkhidmatan Kewangan meminta IwaiCosmo menganalisis pencerobohan itu serta merangka langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Firma broker itu memaklumkan bahawa akaun pelanggan yang terjejas telah dipulihkan kepada keadaan sebelum pesanan tanpa kebenaran tersebut dilaksanakan.

Serangan siber itu, yang dipercayai dilakukan menggunakan kecerdasan buatan (AI), turut menyebabkan nama dan alamat e-mel 4,975 pelanggan terdedah, namun kata laluan transaksi tidak dicuri, menurut firma itu.

Terdahulu pada hari sama, Recruit mendedahkan kemungkinan berlaku kebocoran maklumat peribadi melibatkan 3.7 juta akaun bagi perkhidmatan maklumat kereta terpakai Carsensor miliknya.

Insiden itu menyebabkan perkhidmatan maklumat kereta terpakai Nissan Motor dan Mitsubishi Motors digantung berikutan kedua-dua syarikat tersebut menggunakan sistem Recruit.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini