TOKYO: Seorang timbalan datuk bandar di barat Jepun maut selepas dihempap replika hiasan gergasi ketika menyertai perarakan tempatan, kata pihak berkuasa pada Isnin, seminggu selepas dua individu lain dilaporkan maut dalam dua perayaan tradisional berasingan.
Timbalan Datuk bandar Saijo di wilayah Ehime, Akihiro Nabae sedang mengusung struktur gergasi itu bersama peserta lain pada Sabtu sebelum terperangkap di bawahnya, menurut pegawai bandar raya dan polis kepada AFP.
Beliau dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia, lapor media tempatan.
“Punca sebenar kejadian, termasuk sama ada struktur itu terbalik atau beliau hilang imbangan, masih disiasat,” kata Timbalan Pengarah sebuah balai polis tempatan, Makoto Hagiyama kepada AFP.
Media tempatan melaporkan 11 hiasan perarakan itu disusun bersebelahan antara satu sama lain dan struktur seberat sehingga tiga tan dipercayai menghempap Nabae.
Dianjurkan oleh kuil tempatan, Festival Saijo yang diadakan setiap tahun itu merupakan acara yang meriah dan penuh warna-warni, dengan perarakan struktur yang diukir menyerupai bunga, burung dan pahlawan, menurut laman web rasmi bandar raya berkenaan.
Tradisi itu bermula sejak zaman Edo di Jepun antara 1603 hingga 1868 dan bertujuan menyatakan penghargaan kepada dewa atas hasil tuaian bijirin yang melimpah.
Pada Sabtu sebelumnya, dua individu dilaporkan maut dalam dua festival berasingan di wilayah Osaka, barat Jepun, apabila replica hiasan terbalik ketika peserta cuba mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.
Dua individu juga dilaporkan maut pada Februari lalu akibat rempuhan orang ramai semasa Festival Lelaki Bogel di Jepun.-AFP











