'AGC ada merit, tak persoal prerogatif Agong' - Utusan Malaysia

‘AGC ada merit, tak persoal prerogatif Agong’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mempunyai asas kukuh bagi mendapatkan penjelasan kehakiman berhubung perintah pelepasan Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh, berkata perintah pelepasan atas pembayaran denda oleh Mahkamah Tinggi dikeluarkan pada 6 November lalu dilihat menuntut bekas Perdana Menteri itu dibebaskan serta-merta tanpa syarat selepas bayaran denda RM50 juta dijelaskan.

Beliau berkata, perkara ini bercanggah secara langsung dengan Perintah Pengampunan Bersyarat Yang di-Pertuan Agong bertarikh 18 September, menetapkan Najib perlu menjalani baki hukuman kes SRC International melalui tahanan rumah hingga 2028.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pendirian diambil Jabatan Peguam Negara terhadap perintah pelepasan dikeluarkan Mahkamah Tinggi mempunyai merit, sama sekali tidak mempersoalkan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Ramkarpal berkata, istilah ‘pelepasan’ boleh ditafsirkan sebagai pembebasan sepenuhnya di bawah Akta Penjara 1995, sekali gus mencetuskan konflik perundangan yang mendesak.

“Oleh itu, perintah pelepasan berkenaan seolah-olah menghendaki Najib dibebaskan tanpa syarat dan serta-merta sebaik sahaja dikeluarkan memandangkan denda RM50 juta sudah dibayar.

“Ini jelas bertentangan Perintah Pengampunan Bersyarat itu sendiri menghendaki Najib diletakkan di bawah tahanan rumah untuk terus menjalani baki hukumannya bagi kes SRC,” katanya.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, isu berkenaan menjadi lebih rumit berikutan hukuman berturut-turut dihadapi Najib dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Hukuman bagi kes 1MDB itu perlu dijalani serta-merta selepas tamat hukuman kes SRC, memandangkan tiada sebarang penangguhan pelaksanaan hukuman dibenarkan.

Ramkarpal berkata, walaupun kediaman Najib digazetkan sebagai penjara bagi kes SRC, status berkenaan berkemungkinan besar tidak terpakai untuk pelaksanaan hukuman kes 1MDB beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini