Pengampunan diraja: AG berhak dapat pengesahan mahkamah

Pengampunan diraja: AG berhak dapat pengesahan mahkamah

Mohamed Haniff Khatri Abdulla (kiri) dan Zaid Malek.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berhak mendapatkan pengesahan mahkamah berhubung tafsiran perintah pengampunan diraja membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan.

Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek berkata, tindakan itu perlu memandangkan pelaksanaan perintah tahanan rumah berkenaan tidak berasaskan mana-mana akta sedia ada dan dilihat dilaksanakan secara ad hoc.

Katanya, walaupun pengampunan diraja secara umumnya tidak boleh disemak, penjelasan mahkamah diperlukan sekiranya wujud kekeliruan terhadap perintah berkenaan yang boleh menjejaskan pelaksanaannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ada beberapa perkara memerlukan klarifikasi. Sebagai contoh, sekiranya tempoh pemenjaraan bagi kes SRC dianggap selesai, hukuman pemenjaraan bagi kes 1Malaysia Development berhad (1MDB) akan berlangsung secara automatik mengikut kuatkuasa perintah mahkamah di dalam kes 1MDB tersebut dan juga Seksyen 292(1) Kanun Tatacara Jenayah.

“Harus diingat juga bahawa perintah pengampunan bersyarat tersebut hanya melibatkan pemenjaraan bagi hukuman kes SRC.

“Walaupun rumah Najib telah diwartakan sebagai penjara, sekiranya tafsiran perintah menjurus kepada tempoh pemenjaraan kes SRC dianggap tamat, timbul pula persoalan sama ada beliau boleh menjalani tempoh pemenjaraan 1MDB di rumah atau sebaliknya,” katanya semalam.

Sementara itu, menurut Zaid, pengisytiharan kediaman Najib sebagai penjara juga tidak me­nyatakan bahawa status itu hanya terpakai sepanjang tempoh pelaksanaan hukuman pemenjaraan bagi kes SRC.

Katanya, keadaan itu mewujudkan hujahan bahawa penentuan tempoh dan pelaksanaan hukuman pemenjaraan seterus­nya masih boleh dilakukan di kediaman berkenaan memandangkan ia telah diwartakan sebagai penjara yang sah.

Beliau berkata, punca utama timbulnya kekeliruan itu adalah ketiadaan undang-undang khusus yang memperincikan kaedah pelaksanaan perintah tahanan rumah.

Dalam perkembangan lain, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Mohd. Dusuki tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan pelaksanaan pengampunan bersyarat Najib dan kuasa sedemikian tidak diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan mahupun kedudukan Peguam Negara sebagai anggota Lembaga Pengampunan.

“Peguam Negara tidak ada kuasa untuk mengguhkan pelepasan Najib dari penjara ke rumah sama ada di bawah Perlembagaan Persekutuan, kuasa Lembaga Pengampunan atau sebagai Peguam Negara,” katanya.

Jelas beliau, sebarang persoalan perundangan sepatutnya ditangani ketika mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 18 September lalu kerana Peguam Negara turut menganggotai lembaga tersebut.

“Lembaga Pengampunan menetapkan Peguam Negara sebagai ahli Lembaga Pengampunan untuk menyelesaikan perkara berbangkit kerana Lembaga itu menyentuh isu yang telah atau akan diputuskan di mahkamah.

“Sebab itu Peguam Negara perlu memberikan formula yang betul mengenai apa yang hendak diperkenankan Yang di-Pertuan Agong supaya tidak berlaku percanggahan,” jelasnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini