KINI semua mata tertumpu ke Melaka.
Selepas gelombang biru melanda Johor dan Negeri Sembilan, Barisan Nasional (BN) mahu mengekalkan momentum itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.
Namun Melaka bukan sekadar medan mengukur kekuatan BN. Ia juga ujian terhadap persefahaman politik baharu antara BN dengan Perikatan Nasional (PN).
Di Johor, BN kembali dengan kemenangan besar. Di Negeri Sembilan, BN dan PN membuktikan dua kekuatan yang pernah bermusuhan mampu membentuk kerajaan bersama.
Di Melaka, persoalannya ialah sama ada kerjasama tersebut benar-benar merasaskan keikhlasan atau sekadar percaturan untuk memenangi pilihan raya.
Jika BN terus mencatat kemenangan, tekanan politik terhadap Pakatan Harapan (PH) tentu meningkat, lebih-lebih lagi ketika Sarawak turut menghadapi PRN.
Namun kemenangan negeri tidak secara automatik menumbangkan kerajaan Persekutuan. Ia lebih tepat dibaca sebagai petunjuk perubahan sentimen rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Harus diingat, keputusan PRU15 tidak menghasilkan mana-mana gabungan dengan majoriti mudah.
PH memperoleh kerusi terbanyak tetapi kerajaan Persekutuan hanya dibentuk selepas proses perundingan politik.
Dalam suasana politik yang semakin terbuka itu, saya percaya persefahaman BN-PN mempunyai peluang untuk bertahan, walaupun ramai meramalkan sebaliknya.
UMNO ialah tunjang BN, manakala Pas adalah kekuatan utama PN.
Kedua-duanya berkongsi matlamat perjuangan yang sama demi agama, bangsa dan negara tetapi berbeza pendekatan. UMNO lebih menekankan kesederhanaan, pembangunan dan kepelbagaian masyarakat sementara Pas pula membawa pendekatan politik Islam yang agak konservatif.
Perbezaan tidak semestinya menjadi penghalang. Yang penting, kedua-dua pihak memahami batas dan menghormati identiti masing-masing.
Di sinilah ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu menjadi penting.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkannya sebagai ucapan seorang bakal Perdana Menteri.
Saya bersetuju, bukan kerana kedudukan itu sudah terjamin tetapi kerana ucapannya menawarkan kerangka tentang bagaimana UMNO mahu kembali memimpin negara.
Selama ini, perhatian lebih mudah tertumpu kepada sindiran ‘guru dan murid’ serta percaturan politik. Sedangkan kandungan dasar dalam ucapan berkenaan jauh lebih besar maknanya.
Ahmad Zahid memberikan isyarat UMNO tidak lagi sekadar memikirkan cara untuk terus bertahan, sebaliknya mula merancang bagaimana mahu kembali menerajui Putrajaya.
Bezanya, UMNO tidak boleh lagi menganggap Putrajaya sebagai milik semula jadinya. Kekalahan, kehilangan kuasa dan pengalaman berkongsi pentadbiran telah mengajar parti itu bahawa keyakinan rakyat tidak diwarisi selama-lamanya.
HASRAT KEMBALI KE PUTRAJAYA
Agenda Malaysia Biru lahir daripada kesedaran tersebut.
Melalui Lapan Ikhtiar, UMNO cuba menawarkan gambaran Malaysia yang lebih maju, berdaulat, sejahtera dan ditadbir dengan amanah. Ia memberi arah kepada hasrat kembali berkuasa, meskipun pelaksanaan, kos dan hasilnya masih perlu diperincikan.
Agenda ini juga mempunyai kesinambungan dengan pembangunan negara yang dilaksanakan sejak era Perikatan dan kemudian BN. Dasar perindustrian, pembinaan infrastruktur serta pembangunan pendidikan dan modal insan menyumbang kepada asas ekonomi Malaysia hari ini.
Malah ia membina daya tahan negara untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi seperti pandemik dan krisis geopolitik.
Namun sebuah agenda tidak menjadi hebat hanya kerana namanya besar. Sekurang-kurangnya UMNO kini mempunyai kerangka dasar yang boleh diperdebatkan, diperbaiki dan dinilai.
Lebih menarik ialah gagasan Tafahum Siyasi yang dibuka Ahmad Zahid.
Beliau seolah-olah mengakui politik Melayu tidak lagi boleh dibina melalui dominasi satu parti. UMNO mempunyai kekuatan tersendiri, begitu juga Pas dan rakan-rakannya. Menganggap sesiapa sebagai pelengkap semata-mata hanya akan mengulangi kesilapan lalu.
Melaka akan memperlihatkan sama ada prinsip ini mampu diterjemahkan menjadi tindakan.
Menariknya, Ahmad Zahid turut meminta Sekretariat Musyawarah Nasional menjadikan Lapan Ikhtiar sebagai fokus pembengkelan dan pemukiman di Melaka.
Ini menghubungkan negeri tersebut bukan sahaja dengan ujian pilihan raya tetapi juga dengan usaha memperincikan rancangan UMNO untuk memimpin negara.
Ujian terbesar tetap di luar dewan persidangan.
Rakyat tidak hidup dengan istilah besar seperti kemakmuran saksama atau negara berpendapatan tinggi. Mereka mahu tahu sama ada gaji cukup, rumah mampu dimiliki, harga barang terkawal dan anak-anak mempunyai masa depan yang lebih baik.
Jika Lapan Ikhtiar dapat menjawab persoalan itu, barulah Malaysia Biru membawa makna kepada kehidupan mereka.
Justeru, Melaka bukan penghujung gelombang biru. Ia satu persinggahan penting dalam perjalanan yang jauh lebih besar. Keputusan di sana akan menguji kekuatan jentera, kematangan kerjasama dan sejauh mana keyakinan rakyat telah kembali.
Agenda Malaysia Biru dan Lapan Ikhtiar memperlihatkan kesediaan UMNO untuk kembali memimpin, manakala Tafahum Siyasi membuka ruang kerjasama politik yang lebih luas.
Namun semua itu hanya akan bermakna jika UMNO mampu membuktikan bahawa gagasannya benar-benar menjawab keperluan rakyat.
Melaka mungkin menjadi satu lagi bukti kebangkitan UMNO. Tetapi kemenangan di beberapa negeri belum menjamin kejayaan untuk kembali ke Putrajaya.
Pada akhirnya, jalan pulang UMNO bergantung kepada sejauh mana parti itu berjaya meyakinkan rakyat bahawa ia telah belajar daripada kekalahan dan benar-benar layak diberikan kepercayaan untuk memimpin semula. –UTUSAN
AZRAN FITRI RAHIM ialah Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Kesembilan.











