Tak setuju pelaksanaan titah Agong, Anthony Loke biadap - Noh

Tak setuju pelaksanaan titah Agong, Anthony Loke biadap – Noh

Anthony Loke
NOH OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dianggap biadap dan meremehkan titah Yang di-Pertuan Agong apabila menyatakan hendak meletak jawatan jika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pulang untuk menjalani tahanan di rumah.

Bekas Menteri Keusahawanan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, Menteri Pengangkutan itu cuba menjadi hero apabila tindakannya itu dilihat tidak bersetuju dengan pelaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terhadap Pengampunan Diraja.

“Saya amat menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar pelaksanaan menjalani baki hukuman tahanan di rumah kepada Najib Razak diteruskan selepas bayaran RM50 juta dilunaskan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“(Tetapi) kenyataan Anthony Loke berkaitan perletakan jawatannya sebagai menteri akan berkuatkuasa apabila Najib Razak menjejakkan kakinya di rumah adalah satu kenyataan yang biadap bukan saja tidak menghormati keputusan Lembaga Pengampunan tetapi mengingkari titah perintah Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Najib Razak hanya menikmati pembebasan sementara apabila AGC menangguhkan pelaksanaan perintah tahanan di rumah terhadap bekas Presiden UMNO itu.

Penangguhan tersebut dinyatakan AGC dalam kenyataannya sementara mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat.

Rentetan itu, Istana Negara menerusi kenyataannya menjelaskan sebarang hujah mempertikaikan Titah Pengampunan Diraja yang dikeluarkan kepada Najib Razak untuk menjalani tahanan di rumah selepas membayar denda RM50 juta, menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurutnya, pada 18 September lalu, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah meneliti petisyen Najib di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu yang turut dihadiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara, sudah pun memberikan nasihat yang sewajarnya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Peguam Najib Razak, Muhammad Farhan Shafee kemudian menyatakan pihak berkuasa tidak mempunyai sebarang asas untuk terus menahan anak guamnya itu walaupun sesaat susulan kenyataan Istana Negara.

Beliau berkata, Istana Negara sudah menjelaskan Titah Pengampunan Diraja dikeluarkan terhadap anak guamnya adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti.

Jelas Noh yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Anthony sepatutnya menyedari terdapat wakil partinya dalam Lembaga Pengampunan iaitu, Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh Tseow Suan.

Terbukti jelas pemimpin DAP ini biadap dan hendak menjadi hero tidak bersetuju dengan perlaksanaan titah Yang di-Pertuan Agong dan sanggup meletak jawatan sebagai Menteri Madani.

“Jikalau semua Menteri dan Timbalan Menteri DAP ada prinsip dan maruah sepatutnya mereka meletak jawatan yang disandang dalam kabinet dan menarik sokongan serta keluar dari keraaan Madani,” tegasnya.

Najib Razak sepatutnya menjalani baki tempoh hukuman penjara di kediamannya di Jalan Langgak Duta selepas membayar denda RM50 juta berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini