SHAH ALAM: Tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menyarankan supaya pelaksanaan tahanan di rumah oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya ditangguhkan selepas berlaku kekeliruan tafsiran disifatkan sebagai memalukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, situasi tersebut tidak sepatutnya berlaku apabila Peguam Negara sendiri turut melalui proses nasihat perundangannya sendiri dan sebagai anggota dalam Lembaga Pengampunan.
“Amat memalukan sekiranya institusi yang dipertanggungjawabkan untuk menasihati kerajaan mengenai undang-undang akhirnya dilihat seolah-olah berlindung di sebalik kekeliruan tafsiran terhadap keputusan yang turut melalui proses nasihat perundangannya sendiri.
“Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam perkara yang berkenaan. Sebarang persoalan pelaksanaan hendaklah ditangani melalui proses undang-undang yang sah, telus dan tanpa kelewatan yang tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu beliau yang merupakan ADUN pembangkang Selangor dilapor menuntut penjelasan daripada AGC yang menyarankan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib Razak tidak dibuat lebih awal.
Malah, jabatan itu juga perlu menjelaskan alasan pertikaian yang dinyatakan semalam selepas bayaran denda RM50 juta yang disyaratkan bagi membenarkan tahanan di rumah itu tidak dilakukan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 18 September lalu.
Jelas Nurul Syazwani, tindakan yang dilakukan oleh AGC dilihat bertentangan dengan prinsip penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan, perundangan dan keyakinan rakyat terhadap undang-undang.
“Itu bukan semata-mata soal Najib Razak. Sebaliknya soal penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan, integriti institusi perundangan dan keyakinan rakyat terhadap kedaulatan undang-undang.
“Jangan sampai rakyat diajar untuk setia kepada raja dan menjunjung Perlembagaan, sedangkan institusi yang sepatutnya mempertahankan prinsip tersebut sendiri menimbulkan persoalan tentang pelaksanaannya,” tegasnya. – UTUSAN











