AGC tolak dakwaan mahu ambil kuasa pengampunan - Utusan Malaysia

AGC tolak dakwaan mahu ambil kuasa pengampunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara tidak sama sekali mempertikaikan, mengenepikan atau berhasrat untuk menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Jabatan itu juga menolak gambaran bahawa tindakan mendapatkan penjelasan undang-undang merupakan suatu percubaan untuk mengambil alih atau melaksanakan kuasa pengampunan.

Katanya, kuasa pengampunan dan peranan mahkamah untuk mentafsir serta menentukan kesan undang-undang sesuatu perintah adalah dua perkara yang berbeza.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mendapatkan keputusan mahkamah mengenai pelaksanaan sesuatu perintah tidak sama sekali bermaksud mempersoalkan kewibawaan pihak yang mengeluarkan perintah tersebut.

“Sehubungan itu, adalah tidak tepat untuk menyamakan pendirian AGC bahawa sesuatu persoalan undang-undang memerlukan penentuan mahkamah dengan dakwaan bahawa Peguam Negara telah mengambil alih prerogatif pengampunan Seri Paduka Baginda.

“AGC berpandangan bahawa saluran yang sewajarnya untuk menyelesaikan persoalan ini ialah melalui Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa supaya keputusan dan arahan pelaksanaan yang jelas dapat diperoleh tanpa menjejaskan kedudukan mana-mana institusi,” katanya dalam kenyataan.

Semalam Jabatan Peguam Negara memaklumkan supaya pelaksanaan tahanan di rumah melibatkan Datuk Seri Najib Razak sewajarnya ditangguhkan dengan alasan timbul persoalan perundangan berhubung interpretasi frasa “menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta” dan kesannya terhadap baki hukuman penjara bagi kes SRC International.

Susulan pendirian itu, Najib yang sudah melunaskan denda sebanyak RM50 juta, semalam, sebagai syarat menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan di rumah masih kekal di Penjara Kajang sehingga setakat ini.

Dalam pada itu, AGC menjelaskan persoalan mengenai tanggungjawab pihak berkuasa penjara hendaklah ditentukan berdasarkan kewajipan undang-undang dan perintah-perintah yang terpakai.

“Sebarang dakwaan atau sindiran bahawa Peguam Negara ataupun pihak tertentu telah mengarahkan pihak berkuasa penjara bertindak secara tidak sah tidak seharusnya dikemukakan sebagai suatu kesimpulan tanpa asas fakta yang jelas,” katanya.

Sebaliknya jabatan itu memaklumkan persoalan diibangkitkan bukanlah mengenai keesahan atau kewibawaan Perintah Pengampunan Bersyarat tersebut.

Katanya, ia membabitkan persoalan memerlukan penentuan adalah berhubung kesan undang-undang Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap baki hukuman penjara kes SRC International serta implikasinya terhadap tarikh permulaan hukuman penjara kes 1MDB.

“Persoalan ini timbul susulan pembayaran denda sebanyak RM50 juta dan pengeluaran Order of Discharge on Payment of Fine oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya.

Pada masa sama, katanya perintah tersebut turut menyatakan bahawa Najib hendaklah menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.

Justeru, timbul persoalan undang-undang mengenai kesan arahan pelepasan tersebut khususnya sama ada ia diperintahkan berkaitan dengan pembayaran denda dan membolehkan baki hukuman penjara SRC International diteruskan melalui tahanan di rumah.

“Atau sama ada perintah tersebut membawa kesan bahawa hukuman dalam kes SRC International telah selesai,” katanya.

Jabatan Peguam Negara menjelaskan persoalan itu mempunyai kaitan langsung dengan perintah hukuman mahkamah dalam kes 1MDB yang menetapkan bahawa hukuman penjara dalam kes
tersebut hendaklah bermula selepas hukuman SRC International selesai.

Tambahan pula katanya permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB telah ditolak oleh mahkamah.

Dalam pada itu, AGC memandang serius penggunaan ungkapan yang menggambarkan tindakan Peguam Negara sebagai suatu penghinaan atau penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, dakwaan sedemikian adalah tidak berasas berdasarkan persoalan undang-undang yang telah dibangkitkan oleh AGC.

“Tanggungjawab untuk memastikan sesuatu titah pengampunan dilaksanakan dengan tepat, selaras dengan perintah Mahkamah yang berkuat kuasa, merupakan sebahagian daripada usaha menjunjung institusi Yang di-Pertuan Agong dan kedaulatan undang-undang, bukannya suatu tindakan mengingkari titah.

“AGC ingin menegaskan bahawa penentuan segera oleh Mahkamah adalah penting
bukan sahaja bagi memastikan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat dan hukuman dalam kes 1MDB dibuat menurut undang-undang, malah bagi memelihara hak-hak Dato’ Sri Mohd Najib sendiri.

“Sekiranya Mahkamah memutuskan bahawa hukuman dalam kes SRC International telah selesai, penerusan tahanan atas dasar hukuman tersebut boleh menyebabkan beliau menjalani tahanan melebihi tempoh yang sepatutnya.

“Sebaliknya, sekiranya hukuman tersebut masih berkuat kuasa, pelaksanaannya hendaklah mematuhi terma Perintah Pengampunan Bersyarat serta mana-mana perintah Mahkamah yang berkaitan,” katanya.

Atas sebab tersebut, AGC berpandangan bahawa persoalan berhubung kesan
undang-undang Perintah Pelepasan bertarikh 6 November 2026 wajar dirujuk dengan segera kepada Mahkamah untuk mendapatkan penentuan dan arahan yang jelas.

Katanya, langkah ini bukan bertujuan melengahkan atau menggagalkan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat, sebaliknya untuk mengelakkan percanggahan dalam pelaksanaan perintah-perintah yang berkuat kuasa serta memastikan bahawa tiada hukuman dilaksanakan secara tidak sah.

“AGC tidak berhasrat untuk berbalas dakwaan melalui media mengenai perkara yang sewajarnya ditentukan melalui proses kehakiman.

“Semua pihak hendaklah menghormati kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong, kebebasan badan kehakiman serta prinsip kedaulatan undang-undang, tanpa membuat tuduhan yang boleh menimbulkan salah faham masyarakat terhadap pelaksanaan tanggungjawab institusi-institusi tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini