KLANG: Orang Besar Istana Engku Sri Paduka Diraja Raja Datuk Reza Raja Zaib Shah dititah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Istiadat Menjunjung Duli Sempena Pemasyhuran Gelaran Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.
Terdahulu, dititah menghadap di Balairung Seri adalah Orang Besar Istana Tengku Orang Kaya Menteri Diraja, Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari dan seterusnya Orang Besar Istana Dato’ Sri Maharaja Dato’ Diraja Selangor Datuk Dr. Aljafri Abdul Majid.
Sebelum ini, dua daripada tiga individu itu merupakan Kerabat Diraja Selangor dititah berkelana selama tujuh hari di luar Selangor yang dipanggil sebagai ‘Adat Menyorok Diraja Selangor’ selepas pemasyhuran gelaran dalam satu istiadat di istana berkenaan, 25 Oktober lalu sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor.
Raja Reza, Tengku Ezrique Ezzuddean dan Dr. Al Jafri sebelum ini dikehendaki menunaikan Adat Menyorok Diraja Selangor yang merupakan salah satu adat istiadat Kesultanan Selangor selepas mengangkat sumpah taat setia dan menyempurnakan istiadat ketika menerima pelantikan dan gelaran melalui Istiadat Menjunjung Duli di hadapan Sultan Selangor.

Berdasarkan adat tersebut, penerima pemasyhuran dikehendaki meninggalkan negeri ini selama tujuh hari dan mematuhi pantang larang tertentu.
Mereka bertiga kemudian dititah kembali menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mengikut istiadat yang ditetapkan.
Turut berlangsung adalah Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor melibatkan 19 penerima Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS), Darjah Kebesaran Dato’-Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) dan Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS).
Dalam istiadat tersebut, turut berangkat Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini serta Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Untuk rekod, Raja Reza, 62, merupakan Kerabat Diraja Selangor adalah seorang pengamal undang-undang yang pernah memegang jawatan-jawatan penting seperti Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat.
Beliau dilantik sebagai Orang Besar Istana dan dikurniakan gelaran ‘Engku Sri Paduka Diraja’ pada 9 Disember 2024.
Tengku Ezrique Ezzuddean, 38, pula adalah Kerabat Diraja Selangor yang merupakan seorang juruterbang dengan memiliki lesen penerbangan serta kelayakan Frozen Airline Transport Licence (ATPL).
Beliau dilantik sebagai Orang Besar Istana dengan pangkat gelaran Tengku Orang Kaya Menteri Diraja pada Ogos 2023.

Sementara Dr. Aljafri, 74, adalah pengamal perubatan dan bidang pembedahan kardiotorasik dan pernah berkhidmat di Universiti Malaya. Beliau juga pernah menjadi ahli panel pemeriksa di Royal College of Surgeons of Edinburgh dan penyunting beberapa buku rujukan pembedahan.
Beliau dilantik sebagai Dato’ Sri Maharaja Diraja oleh Sultan Sharafuddin pada Ogos 2023. – UTUSAN











