Irmohizam antara 19 penerima darjah kebesaran sempena Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor

Irmohizam antara 19 penerima darjah kebesaran sempena Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor

Darjah kebesaran Selangor
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada Irmohizam Ibrahim dan 18 penerima lain pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang. - UTUSAN / ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor itu, Irmohizam dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’-Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang membawa gelaran Dato’.

Beliau ketika ditemui berkata, pengurniaan darjah kebesaran itu dianggap sebagai suntikan semangat untuk bekerja keras dan mengangkat nama Selangor selain simbolik penghargaan kepada sumbangan pelbagai pihak kepada WTCKL, Royal Selangor Polo dan Riding for Disability Selangor.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai anak kampung dari Kampung Kuantan, Kuala Selangor, tidak terlintas dalam fikiran saya akan menerima anugerah sempena sambutan jubli perak atau 25 tahun pemerintahan baginda yang saya anggap cukup istimewa.

“Ia juga menjadi perangsang untuk terus bekerja kuat selaras dengan titah-titah baginda (sebelum ini). Paling penting bagaimana institusi diraja harus dipertahankan, menyatupadukan rakyat dan sumbangan dalam pembangunan Selangor,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Malah beliau menjelaskan, kehadirannya dengan menyarung uniform putih Tentera Diraja Laut Malaysia (TLDM) sebagai Komander Kehormat juga sebagai penghargaan dan taat setia kepada Sultan Sharafuddin yang juga merupakan Kapten Yang Dipertua pasukan pertahanan itu.

Pada istiadat tersebut, mendahului senarai adalah penerima Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk atau Datin Paduka bagi penerima wanita iaitu Panglima Briged Kesebelas Infantri Markas 11 Briged Kem Sungai Buloh, Brigadier Jeneral Datuk Safwan @ Asri Ismail.

Diikuti Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Turkiye, Datuk Ahmad Amiri Abu Bakar, Ketua Pengarah Pusat Hidrografi Nasional, Laksamana Muda Datuk Dr Najhan Md. Said dan bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Darjah kebesaran Selangor
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran kepada Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan 18 penerima lain pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang. – UTUSAN / ISKANDAR ISHAK

Selain itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datin Mareena Mahpudz serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SD Guthrie, Datuk Mohd. Haris Mohd. Arshad.

Penasihat Undang-Undang Kumpula YTL Corporation Berhad, Datin Seri Kathleen Chew Wai Lin serta Pengasas, Pengerusi dan CEO Grab Holdings Limited, Datuk Anthony Tan Ping Yeow turut menerima darjah kebesaran sama

Selain Irmohizam, turut menerima darjah kebesaran DSIS adalah Pegawai Daerah Kuala Langat, Datin Rohana Tengku Nawawi; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Datuk Shukri Ishak dan Presiden Malaysian Branch of The Royal Asiatic Society, Tengku Datuk Mohamed Fauzi Tengku Abdul Hamid.

Darjah kebesaran DISIS turut dikurniakan kepada Pengarah Urusan Khaanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Datuk Ann Wan Tee.

Dalam istiadat sama, Sultan Sharafuddin juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran-Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS) kepada Ketua Perisikan Siber Malaysian Defence Intelligence Organisation, Kolonel Mohd. Azlizam Uda.

Turut dianugerah darjah sama adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Leftenan Kolonel Dr Wong Wai Loong dan Pegawai Staf I, Pangkalan Data, Kementerian Pertahanan, Leftenan Kolonel Mohd. Khairi Mohd. Yussoff.

Terdahulu, Sultan Selangor berkenan menerima tiga termasuk dua kerabat diraja yang berkelana selama tujuh hari di luar negeri sebelum ini kembali menghadap pada Istiadat Menjunjung Duli Sempena Pemasyhuran Gelaran Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor.

Mereka adalah Orang Besar Istana Engku Sri Paduka Diraja Raja Datuk Reza Raja Zaib Shah dan Tengku Orang Kaya Menteri Diraja, Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari yang masing-masing merupakan kerabat diraja.

Turut kembali menghadap adalah Orang Besar Istana Dato’ Sri Maharaja Dato’ Diraja Selangor Datuk Dr. Aljafri Abdul Majid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini