AUSTIN: Tesla merancang untuk mengurangkan pengeluaran trak pikap elektrik Cybertruck di kilangnya di Texas sekitar pertengahan 2027 susulan jualan model itu yang terus mengecewakan sejak dilancarkan beberapa tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk berkata, langkah itu bertujuan memberi ruang kepada syarikat berkenaan meningkatkan pengeluaran model Cybercab yang baru diperkenalkan.
Model Cybercab menjadi antara fokus utama Tesla dalam usaha memperluas perkhidmatan teksi robot pandu sendiri.
Cybertruck sebelum ini diperkenalkan sebagai pesaing kepada trak pikap keluaran pengeluar automotif tradisional, namun reka bentuknya yang berat dan bersudut tajam mengehadkan jualannya kepada beberapa pasaran sahaja.
Dalam satu hantaran di platform X pada Jumaat, Musk berkata pengurangan pengeluaran Cybertruck akan membolehkan Tesla menumpukan lebih banyak kapasiti pengeluaran kepada model baharu berkenaan.
Bagaimanapun, belum jelas sama ada pengeluaran Cybertruck akan dipindahkan ke kilang lain atau dihentikan sepenuhnya.
Kilang Tesla di Austin ketika ini merupakan satu-satunya fasiliti syarikat itu yang diketahui mempunyai kemudahan untuk menghasilkan komponen khusus bagi Cybertruck.
Menjawab pertanyaan seorang pengguna di X, Musk menyifatkan Cybertruck sebagai ‘kenderaan terbaik pernah dihasilkan Tesla’ dan keputusan mengurangkan pengeluarannya sebagai ‘penghujung satu era’.
Tesla belum memberikan maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan komen yang dihantar di luar waktu operasi biasa.
Pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari Amerika Syarikat (AS) itu hanya mula menyerahkan Cybertruck kepada pelanggan pada penghujung 2023.
Menurut Kelley Blue Book, Tesla hanya menjual 20,237 unit Cybertruck di AS tahun lalu, merosot 48 peratus berbanding 38,965 unit pada 2024.
Sebelum trak pikap itu dilancarkan, Musk pernah meramalkan jualan tahunan model berkenaan mampu mencecah 250,000 unit.











