Tesla buka pusat servis, bengkel pertama di Pulau Pinang

Tesla buka pusat servis, bengkel pertama di Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow ketika meninjau ruang dalaman sebuah kereta Tesla di Gurney Plaza, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Tesla Malaysia mengembangkan operasinya di Pulau Pinang menerusi pembukaan pusat servis dan bengkel pertama di Seberang Jaya, dekat sini, hari ini.

Pengarah Serantau Tesla, Isabel Fan berkata, dengan adanya pusat servis itu, pihaknya dapat menawarkan sokongan perkhidmatan yang lebih baik kepada pemilik kenderaan elektrik (EV) itu di negeri ini.

“Pusat servis di Seberang Jaya yang memulakan operasi hari ini direka untuk memastikan semua keperluan servis serta pembaikan diuruskan dengan cekap.

“Dalam hal ini, kami yakin ia dapat memberikan kemudahan serta perkhidmatan yang lebih pantas kepada pelanggan Tesla di Pulau Pinang,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Stesen Supercharger V4 Tesla di Gurney Plaza di sini, hari ini.

Terdahulu, stesen berkenaan yang juga stesen ‘supercharger’ pertama seumpamanya di Pulau Pinang itu telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Mengulas mengenai fasiliti tersebut, Isabel berkata, stesen ‘supercharger’ berkenaan terletak di tempat letak kereta, tingkat bawah (B1), plaza terbabit.

“Stesen ini dilengkapi dengan empat Supercharger V4 berkuasa 250kW (kilowatt) yang canggih dan ia bukan sahaja akan memenuhi keperluan pengecasan tempatan untuk pemilik Tesla, tetapi juga menyokong perjalanan jarak jauh di seluruh wilayah utara di Malaysia,” katanya.

Jelas Isabel, pelancaran stesen itu merupakan satu langkah besar dalam meningkatkan aksesibiliti pengecasan EV di Pulau Pinang.

“Dalam hal ini, Tesla komited untuk terus memperluaskan infrastruktur pengecasannya di Malaysia untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat,” katanya.

Tambah beliau, Tesla Malaysia akan meraikan penyerahan kenderaan Tesla kepada pelanggan di Pulau Pinang pada 12 dan 13 September ini menerusi penyerahan 25 buah kenderaan itu kepada pemilik baharu sekali gus menandakan pencapaian penting syarikat tersebut dalam perjalanan menuju mobiliti mampan di wilayah utara.

Dalam pada itu, Kon Yeow itu, berkata, Tesla telah menyediakan 11 stesen ‘supercharger’ dengan 52 pengecas dan 13 stesen pengecasan destinasi, dengan 69 pengecas di seluruh Malaysia untuk memenuhi keperluan pengecasan di pelbagai kawasan.

“Saya yakin dengan adanya stesen ‘supercharger’ di Pulau Pinang ia akan memudahkan pemilik kenderaan Tesla untuk mengecas kenderaan masing-masing,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×