Tiada usaha kami nak turunkan Tuanku Muhriz -UMNO Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Tiada usaha kami nak turunkan Tuanku Muhriz -UMNO Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menafikan ada usaha parti itu untuk menurunkan tahta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata tuduhan itu yang tersebar luas sebelum ini terutama di media sosial sebenarnya sudah disalahertikan oleh pihak tertentu.

“Sejak 27 April lalu apabila kita mengambil keputusan untuk tidak bersama memberikan sokongan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) bukan mempunyai matlamat menjatuhkan Tuanku.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tidak. Itu sudah disalahertikan dan disalahfahamkan oleh pihak-pihak tertentu. Kita tidak pernah dusta. Pendirian parti politik ialah bekerja, untuk memperkukuh urus tadbir kerajaan dan tidak mencampuri sebarang urusan yang berkaitan dengan institusi adat dan raja.

“Pendirian kita ialah mempertahankannya (institusi raja/istana) supaya ia tidak diperlekeh oleh pihak-pihak tertentu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO, di sini, hari ini.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang mengakui beliau ada menghadap Tuanku Muhriz bulan lalu.

Beliau berkata, sesi menghadap itu atas kapasiti beliau sebagai ketua parti di peringkat negeri dan tidak harus disalahertikan serta jauh daripada dakwaan atau sangkaan pihak tertentu yang tersebar di media sosial.

“Apabila saya dititah menghadap oleh Tuanku Muhriz, saya akan taat dan akur dan sebagai rakyat, apa lagi sebagai ketua parti, saya akan taat,” katanya yang yakin dan percaya kemelut Perlembagaan yang sedang berlaku ketika ini boleh diselesaikan sekiranya semua pihak dapat menyumbang ke arah kebaikan.

Berhubung rancangan kerajaan negeri untuk mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027, Jalaluddin berkata, perkara itu akan diuruskan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Beliau berkata, Ismail sudah memaklumkan mengenai perkara itu dan pentingnya sidang DUN itu dijalankan kerana ia juga membabitkan pembentangan belanjawan negeri.

“Insya-Allah YAB Menteri Besar sedang berusaha menjurus ke arah itu supaya sidang DUN dapat kita jalankan,” katanya.

Jalaluddin turut menegaskan Tuanku Muhriz akan merasmikan persidangan berkenaan sekali gus tidak timbul isu ia akan dilakukan oleh pihak lain.

Berhubung terdapat pertemuan beberapa ADUN dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, baru-baru ini, beliau berkata, perkara itu di luar pengetahuan beliau.

“Setakat ini saya tidak dimaklumkan (mengenai pertemuan itu) dan apa yang saya tahu ia tidak membabitkan ADUN daripada UMNO dan Barisan Nasional.

“Saya tidak tahu apa perkara yang berlaku (dibincangkan),” katanya.

Selasa lalu, Ismail memaklumkan kerajaan negeri kekal dengan rancangan asal ditetapkan untuk mengadakan Persidangan DUN pada 26 November ini disusuli dengan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 pada keesokannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini