Tiada usul undi tidak percaya terhadap MB - Jalaluddin

Tiada usul undi tidak percaya terhadap MB – Jalaluddin

JALALUDDIN Alias ketika pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan, Seremban, hari ini. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menafikan dakwaan beliau berhasrat mengusulkan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Beliau berkata, tiada sebarang perancangan untuk menjatuhkan Menteri Besar, malah perkara itu juga tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, katanya, mesyuarat berkenaan mencapai kesepakatan bahawa tiada perpecahan atau kem tertentu dalam kalangan ADUN parti itu di negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Awak ada dengar ke saya nak menjatuhkan Menteri Besar? Tidak ada. Saya sudah jelaskan dalam mesyuarat tadi.

“Sampai pagi ini masih ada kata-kata mengatakan bahawa hari ini kami akan membuat keputusan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, sedangkan perkara itu tidak ada. Tolonglah hentikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Terdahulu, mesyuarat yang bermula pukul 10 pagi itu turut dihadiri kesemua 25 ADUN BN.

Mengulas dakwaan wujud kem tertentu termasuk yang dikaitkan dengan beliau dan Ismail, Jalaluddin berkata, semua ADUN perlu mengetepikan sebarang persepsi perpecahan dan memberi tumpuan kepada tanggungjawab masing-masing.

“Siapa yang kata ada kem? Tak ada. Sebenarnya ceplos-ceplos ni , saya ingat jangan lah, kita perlu bergerak ke hadapan,” katanya.

Katanya, kesemua 25 ADUN kerajaan yang diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu perlu terus melaksanakan amanah bagi memastikan kebajikan, kesejahteraan dan pembangunan kawasan yang diwakili tidak terjejas.

ADUN Pertang itu berkata, tiada keperluan untuk pemimpin kerajaan negeri saling berbalah, sebaliknya semua pihak perlu memberikan sokongan dan pandangan bagi memastikan pentadbiran negeri terus berjalan lancar.

“Saya fikir tidak ada keperluan untuk kita melihat pemimpin kita, wakil-wakil kita berlaga antara satu dengan lain. Kita harus memberikan sokongan dan pandangan bagaimana untuk kita terus bergerak supaya negeri dan rakyat terus diurus tadbir,” katanya.

Sementara itu, Jalaluddin menjelaskan bahawa pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah atas titah baginda dan beliau sentiasa bersedia untuk menghadap sekiranya diperkenankan.

“Dalam apa keadaan sekalipun, sebagai ketua parti, apabila saya dititah menghadap oleh Tuanku saya akan patuh. Apatah lagi sebagai rakyat, apabila dititah menghadap oleh Raja saya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap semua pihak memainkan peranan ke arah penyatuan bagi membolehkan kemelut politik negeri diselesaikan dalam masa terdekat.

“Kalau kita main peranan semua sekali, insya-Allah kita akan selesai. Kalau semua menyumbang, menjurus ke arah kebaikan dan penyatuan, insya-Allah kita akan selesai,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jalaluddin berkata, beliau tidak mengetahui mengenai pertemuan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar semalam.

Bagaimanapun, katanya, tiada ADUN Barisan Nasional (BN) yang terlibat dalam pertemuan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini