Penyanyi, Nurul Depp menyifatkan teguran terhadap golongan artis, khususnya generasi baharu, perlu disampaikan secara berhemah dan disertai cadangan penyelesaian agar dapat dijadikan panduan untuk memperbaiki diri.
Menurut Nurul, pandangan yang dikemukakan pelakon senior, Fauziah Nawi menerusi platform Threads mengenai tanggungjawab artis berpengalaman membimbing pelapis industri seni merupakan sesuatu yang wajar dipersetujui.
Katanya, teguran bukan sekadar bertujuan menunjukkan kesalahan seseorang, sebaliknya perlu disusuli dengan perkongsian ilmu dan pengalaman supaya golongan yang ditegur memperoleh manfaat.
“Saya setuju dengan apa yang disampaikan Fauziah. Apabila kita menegur seseorang, biarlah teguran itu turut membawa penyelesaian. Kalau nampak orang melakukan kesilapan, berikan cadangan bagaimana mereka boleh memperbaikinya.
“Sebagai golongan senior, kita boleh gunakan pengalaman yang ada untuk membantu pelapis baharu. Bagaimanapun, kita tidak boleh memaksa mereka menerima pandangan kita. Terpulang kepada mereka untuk menilai dan mengambil teguran yang dirasakan sesuai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nurul berkata, keterbukaan menerima pandangan orang lain juga penting kerana ada kalanya individu di sekeliling lebih mudah melihat kekurangan yang tidak disedari diri sendiri.

Jelasnya, pandangan daripada pihak ketiga, khususnya peminat yang benar-benar mengikuti perjalanan seseorang artis, boleh dijadikan antara sumber untuk mengenal pasti kelebihan dan kekurangan diri.
“Kadang-kadang orang yang memerhati kita lebih nampak apa yang baik atau sebaliknya. Sebab itu, kita perlu terbuka menerima teguran yang membina.
“Kita memang tidak sempurna, tetapi kita perlu belajar menjadi insan yang berguna. Teguran yang membina, ambillah. Kalau sekadar kecaman yang tidak membawa apa-apa kebaikan, tidak perlulah terlalu memikirkannya,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas hubungan dengan golongan artis generasi baharu, Nurul mengakui dirinya tidak begitu dekat dengan perkembangan kelompok berkenaan sejak mengambil keputusan memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaan sendiri.
Malah, penyanyi itu berkata, dia hanya berpeluang mengenali penyanyi Asyraf Nasir secara lebih dekat ketika bertemu di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Februari lalu.
Selain Asyraf, Nurul turut menyebut nama Aisha Retno dan Aina Abdul sebagai antara penyanyi generasi baharu yang berada dalam kelompok berbeza daripadanya.
“Boleh dikatakan saya agak terpisah dengan generasi baharu kerana sudah hampir 15 tahun memberi tumpuan kepada anak-anak, rumah tangga dan perniagaan sendiri.
“Setakat ini, belum ada artis muda yang datang secara langsung meminta nasihat atau pandangan mengenai kerjaya mereka. Namun, dengan rakan artis yang rapat seperti Ning, kami masih berkongsi cerita dan pengalaman,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai budaya kecaman dan boikot dalam kalangan pengguna media sosial, Nurul berpendapat masyarakat tidak seharusnya terlalu tunduk kepada suara segelintir individu yang gemar melemparkan kritikan negatif.
Katanya, pengguna media sosial perlu lebih bijak memanfaatkan platform berkenaan untuk menyebarkan perkara positif, bukannya membiarkan segelintir pihak menentukan cara orang lain menjalani kehidupan.
“Pada pandangan saya, hanya satu peratus kelompok yang pahit dan gemar mengkritik orang lain, sedangkan masih ada 99 peratus lagi yang positif.
“Malangnya, kita sudah terbiasa berasa takut dengan kelompok kecil ini sehingga terlalu memikirkan apa yang orang akan kata setiap kali mahu melakukan sesuatu.
“Gunakan media sosial untuk menyebarkan kesedaran dan perkara positif. Kita semua berdepan cabaran dalam kehidupan, jadi sebelum menulis sesuatu komen, fikirkan juga bagaimana perasaan kita jika menerima kata-kata yang sama,” katanya.
Tambah Nurul, setiap pengguna media sosial perlu mempunyai kesedaran dan rasa tanggungjawab ketika memberikan pandangan, meskipun hakikatnya seseorang tidak mampu mengawal tindakan atau pemikiran orang lain.











