KUALA LUMPUR: Sebanyak 30,000 unit pengecas kenderaan elektrik (EV) disasarkan untuk dipasang di seluruh negara menjelang 2030 berbanding 7,341 unit yang telah dipasang setakat 30 September lalu.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, daripada jumlah sedia ada itu, sebanyak 4,992 unit merupakan pengecas arus ulang alik (AC) manakala 2,349 lagi pengecas pantas arus terus (DC).
Katanya, sasaran berkenaan akan dicapai menerusi penggalakan pelaburan sektor swasta serta kerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemain industri.
“Kerajaan menyasarkan pembangunan sebanyak 30,000 unit pengecas EV di seluruh negara menjelang tahun 2030 iaitu kira-kira empat kali ganda jumlah semasa.
“Sasaran ini akan direalisasikan melalui penggalakan pelaburan sektor swasta melalui pengendali titik pengecasan (CPO) serta kerjasama dengan kerajaan negeri, PBT dan pemain industri,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) berhubung usaha kerajaan memperluas kemudahan pengecas EV, khususnya di kawasan luar bandar dan pekan kecil.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan turut menggalakkan pengendali pengecas EV memperluas rangkaian kemudahan berkenaan ke lokasi alternatif seperti plaza tol, jalan persekutuan serta kawasan komersial berhampiran susur keluar lebuh raya.
Katanya, langkah itu bertujuan meningkatkan akses pengguna EV, terutama di kawasan yang mempunyai kekangan pembangunan kemudahan pengecasan di sepanjang lebuh raya.
Selain itu, pemasangan pengecas AC turut digalakkan di premis perniagaan, pusat beli-belah dan kemudahan awam bagi membolehkan pengguna mengecas kenderaan ketika menjalankan urusan harian.
Beliau berkata, kerajaan turut menyeragamkan proses permohonan pembangunan petak pengecas EV menerusi garis panduan yang berkuat kuasa sejak 15 Ogos 2025.
Garis panduan itu menetapkan tempoh pemprosesan sehingga 14 hari bekerja bagi permohonan lengkap di PBT seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Bagaimanapun, katanya, pembangunan kemudahan pengecas EV akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira permintaan pengguna, kos pemasangan dan kesiapsiagaan bekalan elektrik di sesuatu lokasi. – UTUSAN











