Akta Dana Kesihatan Nasional tangani kenaikan kos rawatan - Utusan Malaysia

Akta Dana Kesihatan Nasional tangani kenaikan kos rawatan

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akta Dana Kesihatan Nasional (DKN) sebagai usaha mewujudkan sistem pembiayaan kesihatan lebih mampan bagi menangani peningkatan kos rawatan bakal digubal menjelang 2029.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya kini sedang meneliti aspek pembiayaan, pemodelan aktuari, pakej manfaat, tadbir urus dan asas perundangan bagi memastikan pelaksanaan dana berkenaan bersesuaian dengan keperluan negara.

Katanya, penggubalan akta itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan melaksanakan transformasi struktur pembiayaan kesihatan menerusi pewujudan DKN, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pewujudan DKN merupakan perubahan struktural yang besar. Ia melibatkan penggubalan undang-undang baharu, hubungan Persekutuan-negeri, dan berkemungkinan turut menyentuh aspek perlembagaan.

“Oleh itu, ia perlu dilaksanakan dengan teliti dan berhemah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) berhubung tempoh kerajaan memperkenalkan kerangka pembiayaan kesihatan nasional yang mampan bagi mengurangkan kebergantungan sistem kesihatan awam kepada peruntukan tahunan serta menangani peningkatan kos rawatan.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, DKN yang sedang dirangka akan menggabungkan kekuatan dua model pembiayaan kesihatan iaitu Beveridge dan Bismarck bagi memastikan perkhidmatan kesihatan terus dapat diakses oleh semua rakyat.

Katanya, model Beveridge yang diamalkan Malaysia mengekalkan pembiayaan melalui cukai kerajaan, manakala model Bismarck memberi penekanan kepada dana kesihatan khusus yang diurus secara berasingan.

“DKN yang sedang dirangka ini akan mengekalkan kekuatan Model Beveridge, iaitu pembiayaan melalui cukai am yang menjamin liputan menyeluruh kepada semua rakyat, di samping mengambil kekuatan Model Bismarck, iaitu dana kesihatan khusus yang diurus secara berasingan dan membeli perkhidmatan secara strategik,” katanya.

Beliau berkata, pembaharuan itu akan dibangunkan berasaskan kekuatan sistem kesihatan awam negara yang selama ini menjadi tunjang kepada pencapaian Liputan Kesihatan Sejagat (UHC).

Menurutnya, Malaysia mencatat skor 80 dalam Indeks Liputan Perkhidmatan UHC, mengatasi Estonia dengan 79 mata dan Turkiye (77), namun berada sedikit di belakang Ireland (82).

Tambahnya, reformasi pembiayaan kesihatan awam itu turut melengkapi Strategi RESET yang sedang dilaksanakan bagi menangani peningkatan kos rawatan di sektor kesihatan swasta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini