Pelancaran roket gagal, Amazon hilang 40 satelit internet

Pelancaran roket gagal, 40 satelit internet Amazon musnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN FRANCISCO: Sebanyak 40 satelit daripada rangkaian internet Amazon musnah pada Ahad selepas pelancaran roket gagal, sekali gus menjadi tamparan kepada usaha pengasasnya, Jeff Bezos untuk menyaingi perkhidmatan Starlink milik hartawan, Elon Musk.

Roket Vulcan kendalian United Launch Alliance (ULA) berlepas pada pukul 12.40 tengah hari (waktu tempatan) dari Cape Canaveral, Florida, namun mengalami masalah teknikal kira-kira 10 minit selepas pelancaran dan gagal membawa muatan satelit Amazon ke orbit.

“Roket mengalami anomali 10 minit selepas penerbangan bermula dan gagal membawa misi Amazon ke orbit,” menurut kenyataan ULA.

Memuatkan artikel berkaitan…

ULA, sebuah syarikat usaha sama antara Boeing dan Lockheed Martin berkata, pihaknya ditubuhkan bagi memastikan akses ke angkasa lepas untuk Amerika Syarikat (AS) serta pelanggan yang bergantung kepada perkhidmatannya, termasuk melaksanakan misi penerbangan angkasa lepas yang paling mencabar.

Amazon membeli 38 pelancaran roket daripada ULA, manakala dalam perancangan jangka panjang, roket Vulcan dijangka membawa hampir separuh daripada satelit generasi pertama Amazon Leo yang bakal merangkumi 3,232 satelit.

Gergasi e-dagang yang diasaskan Bezos itu sudah melancarkan kira-kira 400 satelit sejak April 2025.

Pelancaran yang gagal pada Ahad itu sepatutnya membawa kumpulan satelit terbesar pernah dihantar Amazon dalam satu misi. Syarikat itu juga tidak melaksanakan sebarang pelancaran sejak Julai lalu.

Amazon sebelum ini mengumumkan rancangan menggunakan rangkaian satelit berkenaan untuk memulakan perkhidmatan internet komersial Amazon Leo pada 2026.

“Setiap pelancaran mempunyai risiko, terutama bagi misi sulung,” menurut Amazon Leo menerusi hantaran di platform X.

Syarikat itu berkata, pihaknya yakin ULA akan mengambil iktibar daripada misi berkenaan dan meneruskan rancangan jangka panjang penggunaan roket Vulcan.

Kegagalan itu berlaku sehari selepas SpaceX milik Musk berjaya melancarkan 26 satelit Starlink bersaiz besar menerusi penerbangan ujian roket gergasi Starship.

SpaceX turut mencatat kejayaan apabila buat pertama kali berjaya melakukan tangkapan roket angkasa lepas yang kembali ke bumi bagi membuktikan kebolehlaksanaan penggunaan semula roket.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini