Lima negara EU buka hab baharu usir migran ke Rwanda

Lima negara EU buka hab baharu usir migran ke Rwanda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VIENNA: Lima negara Kesatuan Eropah (EU) akan membuka sebuah pusat penghantaran pulang migran di Rwanda tahun depan, kemudahan pertama seumpama yang dibina di luar blok tersebut dalam usaha lebih meluas untuk meningkatkan jumlah pengusiran pendatang tanpa izin.

Jerman, Denmark, Austria, Greece dan Belanda dijangka membuka pusat yang dikenali sebagai ‘hab penghantaran pulang’ itu pada 2027 bagi menerima migran yang dipindahkan dari negara berkenaan, menurut kenyataan kerajaan Belanda dan Denmark.

Kelima-lima negara berkata, skim itu akan melibatkan migran yang tinggal secara tidak sah di negara mereka dan dikenakan perintah pengusiran. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Kerajaan Belanda turut menjelaskan pusat berkenaan akan menjadi pilihan alternatif sekiranya migran terbabit tidak dapat dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Migran yang dihantar ke Rwanda boleh memilih untuk menetap dan berintegrasi dalam masyarakat negara itu atau pulang ke negara asal, menurut kenyataan bersama berkenaan.

Skim itu hanya melibatkan individu yang sudah menggunakan semua saluran perundangan untuk mendapatkan kebenaran tinggal di lima negara terbabit, berbeza dengan perjanjian Britain yang dibatalkan sebelum ini dan bertujuan menghantar migran ke Rwanda untuk permohonan suaka mereka diproses.

Cabaran undang-undang menyebabkan perjanjian Britain itu tidak pernah dilaksanakan sebelum akhirnya dibatalkan kerajaan Parti Buruh yang mengambil alih pentadbiran pada 2024.

Pejabat Perdana Menteri Britain di Downing Street tidak menolak kemungkinan negara itu menyertai skim berkenaan, sebaliknya berkata, pihaknya akan memantau perkembangan inisiatif itu dengan penuh minat.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menyifatkan rancangan membuka pusat berkenaan di Rwanda bukan penyelesaian tepat tetapi sebagai sesuatu yang tidak mempunyai masa depan atau nilai kemanusiaan.

Kelima-lima negara berkenaan menegaskan rancangan menghantar migran ke luar Eropah itu selaras dengan undang-undang EU dan antarabangsa, namun badan hak asasi manusia memberi amaran langkah itu berkemungkinan melanggar hak golongan migran.

Perjanjian itu menyusul selepas pembaharuan dasar EU baru-baru ini yang membenarkan penubuhan pusat penghantaran pulang di luar blok berkenaan.

Dalam sidang media bersama di Vienna, Canselor Austria, Christian Stocker berkata, kelima-lima negara mahu mengurangkan tekanan terhadap sistem suaka Eropah selain membanteras kegiatan penyeludup manusia yang mengatur perjalanan berbahaya merentasi Laut Mediterranean.

Dalam kenyataan bertulis, kerajaan Belanda berkata, fasa pertama perjanjian itu hanya membabitkan lelaki bujang, sambil menambah tumpuan negara itu adalah kepada individu dari negara asal yang terletak di rantau sama dengan Rwanda.

Setibanya di Rwanda, migran berkenaan boleh berintegrasi dalam masyarakat negara itu dan diberikan hak untuk menetap, selain akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan, pasaran pekerjaan serta sistem perundangan.

Menteri Dalam Negeri Rwanda, Vincent Biruta berkata, negaranya komited untuk bekerjasama dengan rakan Eropah bagi menyediakan penyelesaian yang selamat, sah dan bermaruah kepada migran.

Beliau turut berkata, kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada usaha memperbetulkan ketidakseimbangan peluang ekonomi global yang disifatkannya sebagai antara faktor utama mendorong penghijrahan tidak teratur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini