Dialog sulung ASEAN-EU lengkapi agenda alam sekitar

Dialog sulung ASEAN-EU lengkapi agenda alam sekitar

JOHARI Abdul Ghani (tujuh kiri) bersama Jessika Roswall (enam kiri) dan Wopke Hoekstra (lapan kiri) bergambar sempena Dialog Pertama Menteri-Menteri ASEAN-EU Mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ketika AMME di Langkawi, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) perlu memperkukuh kerjasama dalam kelestarian alam sekitar bagi melengkapkan agenda alam sekitar serantau yang semakin berkembang pesat.

Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ASEAN perlu melihat inisiatif EU seperti Perjanjian Hijau Eropah dan komitmen ke arah karbon sifar bagi memastikan pembangunan mampan di rantau Asia Tenggara.

“ASEAN dan EU mewakili ekosistem, ekonomi dan komuniti yang berbeza, namun kita berkongsi cabaran serta aspirasi yang sama untuk masa depan yang mampan.

“Kedua-dua rantau komited terhadap sasaran iklim bercita-cita tinggi dan perlindungan alam sekitar. Kepimpinan EU melalui inisiatif seperti Perjanjian Hijau Eropah melengkapkan agenda alam sekitar ASEAN yang kian berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Dialog Pertama Menteri-Menteri ASEAN-EU Mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18 (AMME-18).

Dialog sulung itu dihadiri oleh menteri-menteri alam sekitar dari 12 negara anggota ASEAN manakala EU diwakili Pesuruhjaya Alam Sekitar, Ketahanan Air dan Kitaran Ekonomi Berdaya Saing, Jessika Roswall dan Pesuruhjaya Iklim, Sifar Bersih dan Pertumbuhan Mampan, Wopke Hoekstra.

Menurut Johari, dialog berkenaan membuka peluang untuk membina rangka kerja kukuh kerjasama ASEAN-EU dalam bidang alam sekitar, berkongsi penyelesaian inovatif, meneroka sinergi menangani pencemaran plastik, kehilangan biodiversiti dan perubahan iklim, selain memperkukuh pemindahan teknologi serta inisiatif pembangunan kapasiti.

Sementara itu, Roswall berkata, pertemuan itu menghantar isyarat jelas bahawa hubungan ASEAN-EU semakin penting dalam menangani cabaran global.

“Rantau kita berjauhan di peta dunia tetapi saling berkait rapat dalam cabaran yang dihadapi. Alam sekitar yang terjejas tidak mengenal sempadan dan memerlukan penyelesaian antarabangsa,” katanya.

Hoekstra pula menegaskan perubahan iklim menuntut tindakan segera apabila data menunjukkan tahun 2024 mencatatkan rekod suhu terpanas, melepasi 1.5 darjah Celsius berbanding era praperindustrian.

“Mengejutkan, tindakan global masih terlalu perlahan. Kita tiada pilihan selain menjadi lebih berani dan dialog hari ini mengesahkan komitmen bersama untuk menyokong tindakan iklim domestik dan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×