PETALING JAYA: Kerajaan akan meneliti cadangan penambahbaikan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) khususnya berkaitan arahan penutupan sekolah ketika bencana jerebu melanda.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu juga merangkumi persediaan awal Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan sesi pembelajaran dapat diteruskan sekiranya sekolah terpaksa ditutup selama beberapa hari.
“Saya tegaskan bahawa kesihatan anak-anak mesti menjadi keutamaan, dengan langkah yang teratur bagi memastikan pelajaran mereka tidak terjejas.
“Agensi Pengurusan Bencana Nasional (Nadma), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) akan memperhalusi cadangan ini bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Perdana Menteri berkata cadangan itu dikemukakan dalam Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara yang dipengerusikannya hari ini.
Selain itu, beliau berkata, mesyuarat juga membincangkan secara terperinci situasi semasa jerebu yang masih membimbangkan serta kesannya terhadap kesihatan rakyat, khususnya anak-anak sekolah.
Katanya, beliau menegaskan bahawa keperluan peruntukan bagi operasi pembenihan awan akan dipenuhi untuk mengurangkan jerebu.
“Operasi ini sedang dijalankan hampir setiap hari, bergantung pada keadaan awan yang sesuai,” katanya.
Perdana Menteri berkata, mesyuarat sama turut dimaklumkan mengenai persediaan negara menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka membawa hujan lebat dan risiko banjir, serta ancaman ‘Super El Nino’ yang diramal membawa cuaca panas dan kering melampau tahun depan.
“Kesiapsiagaan agensi barisan hadapan mesti terus dipertingkat. Nadma perlu diperkasa sebagai nadi penyelarasan dasar dan operasi merentas agensi, khususnya melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat, agar langkah pencegahan, persediaan, tindak balas dan pemulihan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.
“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, sektor swasta, sukarelawan serta masyarakat mesti bergerak bersama memperkukuh kesiapsiagaan komuniti.
“Nyawa rakyat mesti dilindungi dan bantuan mesti sampai segera kepada mereka yang memerlukan. Inilah amanah yang mesti kita galas bersama,” katanya.-UTUSAN











