WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) membatalkan sekatan terhadap tindakan mengusir pendatang haram ke negara pihak ketiga di samping bersetuju untuk mendengar dan menilai kes berkenaan secara mendalam pada Disember depan.
Mahkamah tertinggi yang didominasi golongan konservatif itu membenarkan permohonan tergempar pentadbiran Presiden, Donald Trump untuk menggantung keputusan mahkamah peringkat rendah sebelum ini.
Mahkamah peringkat rendah sebelum ini menetapkan mana-mana individu yang disasar untuk diusir perlu diberi notis awal mengenai negara destinasi bagi membolehkan mereka mengemukakan bantahan atau kebimbangan berhubung risiko penganiayaan.
Bagaimanapun, tiga hakim liberal daripada panel sembilan anggota Mahkamah Agung berkenaan menolak permohonan pentadbiran Trump tersebut.
Trump sebelum ini berkempen atas janji untuk mengusir jutaan pendatang tanpa izin dari AS dan telah mengambil pelbagai tindakan bagi mempercepatkan proses pengusiran sejak kembali ke Rumah Putih pada 2025.
Pentadbiran Trump mempertahankan tindakan pengusiran ke negara ketiga sebagai langkah perlu memandangkan sesetengah negara asal pendatang terbabit enggan menerima kepulangan mereka.
Menerusi hujah yang dikemukakan kepada Mahkamah Agung, pihak penentang menegaskan keputusan mahkamah rendah sebelum ini bukannya menghalang terus pengusiran, sebaliknya hanya menuntut proses itu dilaksanakan mengikut saluran undang-undang.
Sebaliknya, peguam negara bagi pentadbiran Trump, John Sauer memberitahu mahkamah, pengusiran pantas ke negara ketiga merupakan instrumen penting bagi mengeluarkan pendatang asing, terutamanya golongan penjenayah berbahaya.
Siasatan agensi berita AFP mendapati AS pernah menawarkan perjanjian bernilai jutaan dolar serta mengancam sekatan visa bagi mendesak negara ketiga, terutamanya di Afrika untuk menerima pendatang terbabit.
Sebaik sahaja tiba di negara berkenaan dan berada di luar bidang kuasa undang-undang AS, golongan terbabit didakwa terdedah kepada penderaan oleh kawalan tempatan, penahanan tanpa had atau diusir semula ke negara asal mereka.
Kongres AS menetapkan dasar untuk tidak mengusir mana-mana individu ke negara yang boleh membahayakan nyawa mereka atau mendedahkan mereka kepada seksaan. -AFP











