KUALA LUMPUR: Kejayaan meraih emas acara 10 meter (m) platform seirama bersama Enrique Maccartney Harold menjadi pembakar semangat buat Bertrand Rhodict Lises untuk memburu satu lagi kejayaan dalam acara individu pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia.
Atlet kelahiran Sarawak itu kini meletakkan sasaran untuk mara ke final acara 10m platform individu terlebih dahulu sebelum memikirkan peluang memburu pingat emas.
“Saya juga menyasarkan emas dalam acara 10m platform, tetapi saya akan mengambil satu langkah pada satu masa dan fokus untuk mara ke final terlebih dahulu,” katanya.
Bertrand dan Enrique mencipta kejutan apabila mengungguli acara 10m platform seirama lelaki dengan kutipan 392.28 mata di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Mereka mengetepikan cabaran pasangan Amerika Syarikat, Joshua Hedberg dan Carson Tyler yang mengumpul 368.43 mata, manakala wakil Brazil, Caio Dalmaso dan Miguel Cardoso meraih gangsa dengan 333.45 mata.
Lebih menarik, gandingan Bertrand-Enrique dibentuk selepas persiapan negara terganggu susulan masalah kesihatan dan kecederaan yang dialami beberapa penerjun selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Bertrand berkata, semua penerjun negara mengalami demam sebaik pulang daripada temasya itu, sekali gus menjejaskan jadual latihan, manakala Elvis terpaksa diketepikan akibat kecederaan.
Bagaimanapun, perubahan gandingan itu tidak menjejaskan keserasian mereka memandangkan kedua-duanya sudah berlatih dan beraksi bersama sejak berusia 14 tahun.
“Kami sudah mempunyai keserasian sejak dahulu lagi. Segala pujian harus diberikan kepada Enrique kerana dia berjaya meningkatkan darjah kesukaran terjunan kami sehingga membolehkan kami memenangi emas,” katanya. – UTUSAN











