WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sabtu berkata bahawa Washington mungkin menyerang Iran seawal Ahad atau mencapai perjanjian besar dan hebat dengan Teheran, susulan laporan bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk melancarkan semula serangan terhadap Republik Islam itu.
“Kami sedang mempertimbangkannya, dan mungkin esok (Ahad),” kata Trump kepada pemberita ketika ditanya sejauh mana beliau mempertimbangkan kemungkinan serangan itu.
“Adakah anda benar-benar fikir saya akan memberitahu anda jika saya akan melakukannya?” tambahnya.
Trump berkata, Iran masih boleh mengelakkan tindakan ketenteraan selanjutnya dengan mencapai perjanjian bersama AS dan menyatakan bahawa mereka mahu mencapai perjanjian, tetapi persoalannya, adakah mereka akan mematuhinya.
Beliau berhujah bahawa matlamatnya adalah untuk menghalang Iran daripada membangunkan senjata nuklear pada masa hadapan dengan berkata, operasi AS sebelum ini yang membabitkan pengebom B-2 tidak mencukupi untuk menjamin hasil yang berkekalan.
“Saya perlu memastikan perkara itu berkekalan,” katanya.
“Itulah satu-satunya sebab saya melakukannya,” tambahnya.
Presiden itu turut mendakwa penghantaran minyak melalui Selat Hormuz meningkat berbanding sebelum perang bermula.
Namun, beliau tidak memberikan angka bagi menyokong dakwaan itu ketika berucap.
Beliau tidak membuat sebarang keputusan muktamad mengenai langkah seterusnya, sebaliknya menyatakan bahawa tindakan ketenteraan dan rundingan kedua-duanya masih menjadi kemungkinan.
“Saya mungkin perlu menamatkannya, atau mungkin mereka akan mencapai perjanjian.
“Tetapi, saya tidak pasti. Apa pun, kita menang,” ujarnya.
Perang AS-Israel terhadap Iran yang bermula pada Februari dan mencetuskan konflik lebih luas di Asia Barat masih belum menemui penyelesaian meskipun gencatan senjata dicapai dan terdapat persetujuan untuk memuktamadkan perjanjian damai.
Sebelum ini, wakil utama Washington bagi urusan Syria, Tom Barrack berkata, AS berkemungkinan menyerang Iran seawal hujung minggu ini.
“Adakah serangan boleh berlaku hujung minggu ini? Sudah tentu,” kata Barack yang juga Duta Besar AS ke Turkiye kepada pengendali audio siar, Mario Nawfal. – AGENSI/AFP











