Bolt catat pertumbuhan perjalanan 250 peratus di Malaysia - Utusan Malaysia

Bolt catat pertumbuhan perjalanan 250 peratus di Malaysia

AFZAN Lutfi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Platform mobiliti perkongsian global, Bolt mencatatkan peningkatan sebanyak 250 peratus dalam jumlah perjalanan pada tahun kedua operasinya di Malaysia berbanding tahun pertama.

Pencapaian itu menunjukkan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan e-panggilan selain mengukuhkan kedudukan syarikat berkenaan dalam pasaran pengangkutan digital yang semakin kompetitif di negara ini.

Pengurus Besar Bolt Malaysia, Afzan Lutfi berkata, pertumbuhan berkenaan membuktikan masih terdapat permintaan terhadap penyedia perkhidmatan e-panggilan alternatif yang mampu menawarkan pilihan pengangkutan mampu milik dan boleh dipercayai kepada pengguna.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, sejak mula beroperasi di Lembah Klang pada November 2024, Bolt memberi tumpuan kepada usaha memperluas pilihan perkhidmatan kepada penumpang selain menyediakan peluang penjanaan pendapatan fleksibel kepada rakan pemandu.

“Sepanjang dua tahun beroperasi, syarikat itu turut memperluas penawaran perkhidmatan, memperkenalkan ciri baharu pada platform serta memperkukuh operasi tempatan bagi memenuhi keperluan penumpang dan pemandu.

“Ketika kami memasuki pasaran Malaysia dua tahun lalu, kami melihat masih terdapat ruang untuk menawarkan lebih banyak pilihan dalam perkhidmatan e-panggilan.

“Pertumbuhan yang kami catatkan sejak itu membuktikan bahawa terdapat permintaan terhadap pilihan perkhidmatan lain yang mampu bersaing dalam pasaran,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, prestasi Bolt turut menunjukkan perkembangan positif sepanjang tahun pertama operasinya apabila jumlah perjalanan yang diselesaikan meningkat secara purata 40 peratus setiap suku tahun.

Dalam tempoh sama, bilangan rakan pemandu aktif turut meningkat secara purata 25 peratus bagi setiap suku tahun.

Momentum pertumbuhan itu berterusan apabila jumlah perjalanan bulanan yang diselesaikan menjelang Oktober 2026 meningkat lebih lapan kali ganda berbanding November 2024.

Malah, pada 31 Oktober 2026, Bolt merekodkan jumlah perjalanan harian tertinggi sejak memulakan operasi di Malaysia, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam tahun kedua operasinya.

Afzan berkata, pertumbuhan perniagaan bukan satu-satunya ukuran kejayaan syarikat, sebaliknya keupayaan menyediakan perkhidmatan yang konsisten dan memenuhi keperluan pengguna serta rakan pemandu turut menjadi keutamaan.

Beliau berkata, Bolt akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan perkhidmatan dan pelaburan dalam operasi tempatan bagi menyokong perkembangan perniagaannya di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini