PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan tiada pertubuhan berdaftar atas nama De Norsemen Kclub International.
RoS dalam kenyataan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan bagi memastikan perkara ini disiasat secara menyeluruh.
“Tindakan tegas akan diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang tertakluk kepada peruntukan yang berkuat kuasa.
“JPPM menegaskan bahawa sebarang aktiviti pertubuhan hendaklah mematuhi undangundang negara dan orang ramai dinasihatkan supaya merujuk sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih,” katanya hari ini.
Terdahulu, PDRM sedang menjalankan siasatan bagi mengesahkan kesahihan dakwaan bahawa terdapat kegiatan organisasi jenayah terancang dari Nigeria dikenali sebagai De Norsemen Kclub International (DNKI) atau Vikings di Malaysia.
Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Mohd Sukri Kaman berkata, siasatan masih dijalankan bagi mendapatkan pengesahan berhubung maklumat berkenaan.
Dakwaan mengenai kumpulan itu menjadi perhatian susulan satu hantaran di media sosial yang mendakwa organisasi itu kini bertapak di Malaysia.
Hantaran itu turut mendakwa sebahagian anggota kumpulan berkenaan memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar sebelum direkrut menjadi ahli, selain mengaitkan kegiatan mereka dengan beberapa aktiviti mencurigakan termasuk perhimpunan yang memaparkan logo dan simbol kumpulan berkenaan. – UTUSAN











