SEBERANG JAYA: Pakej 1 Projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua (PTJSD) mencatat kemajuan fizikal sebanyak 54.61 peratus setakat 8 November 2026.
Pencapaian itu mencerminkan perkembangan positif pelaksanaan projek infrastruktur strategik tersebut.
PLUS dalam satu kenyataan memberitahu, Pakej 1 merangkumi kerja-kerja penambaikan laluan susur di Bulatan Persimpangan Bertingkat Timur-Barat serta pembinaan jambatan baharu di Jalan Tun Hussein Onn, sebagai usaha meningkatkan kapasiti jalan raya dan kelancaran aliran trafik di kawasan berkenaan.
“Sementara itu, pelaksanaan pakej-pakej seterusnya turut dirancang secara berperingkat, di mana Pakej 2 sehingga Pakej 5 kini berada di peringkat akhir proses tender.
“Pakej 2 dan Pakej 5 melibatkan kerja-kerja pembinaan di antara Plaza Tol Juru sehingga Hentian Sebelah Juru dan Hentian Sebelah Samagagah sehingga Plaza Tol Sungai Dua.
“Manakala, Pakej 3 dan Pakej 4 melibatkan pembinaan laluan bertingkat dan persimpangan bertingkat di antara Hentian Sebelah Juru sehingga Hentian Sebelah Samagagah.
“Secara keseluruhan, PTJSD merupakan projek infrastruktur bernilai RM3 bilion sepanjang 17.4 kilometer yang menghubungkan Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua.
“Setelah siap sepenuhnya, projek ini dijangka meningkatkan kapasiti lebuh raya, memperbaiki aliran trafik serta memberikan manfaat jangka panjang kepada pengguna lebuh raya dan komuniti setempat.” demikian menurut kenyataan itu. – UTUSAN











