TH perluas program kepimpinan ke Sabah, Sarawak, Labuan - Utusan Malaysia

TH perluas program kepimpinan ke Sabah, Sarawak, Labuan

MUSTAKIM Mohamad bersama peserta TH Young Leadership 2026
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) memperluas penganjuran Program TH Young Leadership 2026 (YouLead) ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, membabitkan penyertaan 60 pelajar dan 20 guru daripada 20 sekolah menengah harian luar bandar.

Daripada jumlah itu, sembilan sekolah masing-masing dari Sarawak dan Sabah, manakala dua lagi dari Wilayah Persekutuan Labuan.

Peluasan berkenaan membuka peluang kepada lebih ramai pelajar di Malaysia Timur untuk mendapatkan pendedahan dan pengalaman dalam pembangunan kepimpinan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, penganjuran kali kelima program itu mencerminkan komitmen berterusan TH dalam melahirkan generasi muda yang berkeyakinan, berintegriti serta mempunyai nilai kepimpinan dan kesedaran mengenai pengurusan kewangan.

“Peluasan program ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan merupakan perkembangan penting selepas pelaksanaan siri Program YouLead terdahulu yang membabitkan lebih 110 sekolah dan 364 pelajar sekolah menengah harian luar bandar di Semenanjung Malaysia.

“Satu lagi pencapaian penting YouLead 2026 ialah pengiktirafan kredit Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Pengiktirafan PAJSK ini julung kali diberikan kepada program YouLead anjuran TH dan menjadi nilai tambah kepada penyertaan pelajar melalui pengiktirafan terhadap penglibatan mereka dalam aktiviti pembangunan kepimpinan dan kokurikulum,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kepimpinan perlu dibentuk berteraskan nilai integriti, amanah, disiplin dan tanggungjawab, selain keupayaan mendengar, menyatukan pandangan serta membimbing pasukan untuk mencapai matlamat bersama.

“Anda merupakan kumpulan perintis yang membuka lembaran baharu bagi pelaksanaan program ini di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Saya berharap pengalaman ini menjadi inspirasi untuk anda terus membina potensi diri dan membawa perubahan positif kepada masyarakat,” katanya.

Selain membangunkan potensi kepimpinan, YouLead turut menjadi platform TH untuk meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan literasi dan perancangan kewangan sebagai persediaan awal menunaikan ibadah haji, selaras dengan pelan persediaan haji Seruan Istito’ah.

Beliau berkata, program selama tiga hari itu merangkumi modul kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan dan celik kewangan.

“Ia selain sesi perkongsian bersama pemimpin korporat, lawatan ke Galeri Haji serta pendedahan secara langsung mengenai Operasi Haji Tanah Air di Movenpick Hotel & Convention Centre, KLIA, Sepang.

“Peserta turut didedahkan kepada sejarah, mandat dan peranan TH dalam membudayakan amalan menabung secara sistematik, selain kepentingan disiplin kewangan, penetapan matlamat simpanan dan pengurusan perbelanjaan secara berhemah.

“Pendekatan itu diharap dapat melahirkan generasi muda yang berkeyakinan, berdaya saing serta memahami kepentingan perancangan kewangan jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini