KEPUTUSAN Pilihan Raya Dewan Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang berlangsung seminggu lalu memperlihatkan kejayaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan momentum gelombang biru yang bermula sejak PRN Johor.
Berada di Melaka sejak dua hari sebelum hari mengundi, saya dapat melihat suasana sekeliling sudah jelas menggambarkan sokongan rakyat yang besar kepada calon-calon daripada BN.
Jika dilihat berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi setiap parti, keputusan kali ini seolah-olah mengekalkan status quo, dengan hanya satu kerusi Pakatan Harapan (PH) beralih kepada Perikatan Nasional (PN).
Meskipun BN memenangi di kerusi-kerusi sama seperti PRN sebelumnya, namun kemenangan besar mereka kali ini dilihat melalui peningkatan jumlah undi yang sangat ketara, iaitu 49.24 peratus undi popular berbanding 38.39 peratus pada 2021, iaitu pertambahan sebanyak 10.84 peratus.
Bagi PH pula, bilangan undi yang mereka raih turun dari 35.8 peratus pada 2021 ke 29.31 peratus atau sebanyak 6.5 peratus berbanding PRN lalu. Penurunan ini bukan sahaja dilihat pada kerusi-kerusi yang mereka kalah tetapi juga kesemua empat kerusi dimenangi.
Perbezaan ini berlaku meskipun peratusan keluar mengundi meningkat sebanyak 5.92 peratus kepada 71.77 peratus melebihi sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Maka, faktor keluar mengundi tidak boleh digunakan bagi menerangkan punca kekalahan PH, seperti juga semasa PRN di Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.
Dari sudut jumlah bilangan undi yang diterima parti komponen PH, prestasi PKR adalah terburuk, dengan penurunan undi sebanyak 4.11 peratus dan kegagalan untuk memenangi sebarang kerusi.
DAP pula merupakan satu-satunya parti dalam PH yang memenangi kerusi dan hanya mengalami penurunan undi sebanyak 0.69 peratus.
Malah, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari turut kalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil yang disandang beliau selama dua penggal sejak 2018. Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan dan Ahli Parlimen Alor Gajah, kalah teruk kepada calon Pas.
Nampaknya, dalam PRN Melaka ini, pakatan antara PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak berjaya memberikan tambahan undi khasnya kepada PH. Mereka juga kehilangan deposit di 6 daripada 7 kerusi yang ditandingi.
Parti-parti kecil seperti Parti Bersama Malaysia (Bersama) pula sekali lagi gagal menunjukkan prestasi baik. Mereka hilang deposit di 15 daripada 16 kerusi yang ditandingi.
Meskipun bendera kuning berselerak di kawasan-kawasan yang mereka tandingi, namun sekadar memenangi 3.92 peratus undi (purata 1198.5 undi bagi setiap kerusi yang ditandingi), jauh daripada sasaran rendah 15 peratus yang ditetapkan ketuanya Datuk Seri Rafizi Ramli baru-baru ini.
Lebih menarik lagi, jika dikira melalui jumlah undi diperoleh berbanding calon bertanding, parti Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sebenarnya memperlihatkan prestasi lebih baik.
Calon Putra berjaya memperlihatkan peningkatan dalam jumlah undi yang diperoleh mereka di kawasan tandingan tunggal parti tersebut iaitu Gadek walaupun kawasan tersebut merupakan kawasan majoriti India.
Calon tunggal tersebut cuma berjaya meraih 68 undi semasa PRN lalu, manakala pada PRN kali ini beliau meraih 1,317 undi, lebih tinggi berbanding Bersama (287 undi) walaupun kedua-duanya tetap hilang deposit.
Meskipun begitu, perkara ini masih membawa persoalan yang besar bagi landskap politik semenanjung. Walaupun banyak parti-parti kecil ditubuhkan untuk mencabar kedominanan parti-parti utama seperti BN, PH dan PN, realitinya kesemuanya gagal mencabar arus undi yang cenderung ke arah parti besar sebegini.
Dari dulu kita melihat parti seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Bersama dan banyak lagi gagal mengambil kesempatan daripada perubahan landskap politik pasca-2018 ini.
Muda hanya berjaya memenangi kerusi parlimen Muar dan DUN Johor Puteri Wangsa pada 2022 apabila PH memberi laluan kepada mereka untuk bertanding. Apabila PH bertanding semula di Puteri Wangsa pada 2026, kerusi tersebut terus pulang ke tuan kubunya.
Ini membawa persoalan menarik tentang keadaan kerusi parlimen Muar sekiranya PH tidak memberi laluan kepada mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Bersatu juga boleh dikatakan tergolong dalam kumpulan ini setelah pertelingkahan dengan Pas, meskipun masih menjadi parti komponen PN. Bersatu bertanding di 31 kerusi menggunakan lambang sendiri pada PRN Negeri Sembilan dan Melaka. Mereka kalah di kesemua kerusi tersebut.
Malah, naratif kancil yang cuba dimainkan Bersama kurang menjadi apabila sasaran rendah mereka juga pun bukan sekadar tidak dapat dicapai tetapi jauh sekali daripada sasaran, meskipun bertanding di lebih separuh daripada kerusi DUN.
Dalam keadaan politik di mana rakyat lebih mementingkan kestabilan, parti-parti kecil sukar menawan hati rakyat kerana mereka dilihat hanya ingin mencabar parti utama sekadar untuk mencabar semata-mata. Malah, ada juga yang merasakan pertandingan mereka hanya agar mereka turut dapat merasa kuasa.
RAKYAT MASIH LIHAT LOGO PARTI
Ini juga terus membuktikan rakyat Malaysia masih mengundi berdasarkan parti dan bukan calon individu. Mereka sedar calon secara seorangan tidak dapat melakukan banyak perubahan kepada dasar negara berbanding parti yang berupaya.
Apa-apa pun, keputusan PRN Melaka ini melengkapkan zon selatan bagi politik negara yang dahulu didominasi BN sebelum 2018, dan kini akhirnya kembali utuh di bawah tangan mereka.
Persoalan seterusnya adalah berkenaan zon tengah yang menyaksikan landskap yang lebih bercampur, serta sama ada BN dapat menawan semula zon utara atau akan kekal bekerjasama dengan PN bagi kawasan tersebut.
PH pula perlu membuat keputusan sama ada ingin mempertahankan negeri-negeri Perak, Selangor dan Pulau Pinang yang kini masih dipegang oleh mereka, atau teruskan kerjasama dengan BN di negeri-negeri tersebut.
Pada masa sama, mereka perlu terus meyakinkan parti-parti Sabah dan Sarawak untuk kekal menyokong mereka di peringkat pusat. –UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











