Dalam kehidupan seseorang tidak semua ujian datang dalam bentuk kesusahan. Ada yang diuji dengan kemewahan dan kesenangan.
Ketika hidup susah, keluarga menjadi tempat bergantung. Namun apabila kehidupan berubah, rezeki semakin melimpah, ada yang mula berubah sikap.
Demikian juga kisah yang dikongsi minggu ini oleh seorang wanita, Ida (bukan nama sebenar), mengenai anak saudaranya yang diuji dengan kemewahan dan kesenangan sehingga kehidupannya berubah.
Namun di sebalik kejayaan itu, berlaku perubahan dalam dirinya dan akhirnya memberi kesan kepada hubungan keluarga, rumah tangga dan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri.
Menurut Ida, pada awalnya anak saudaranya Sha (bukan nama sebenar) menjalani kehidupan seperti kebanyakan orang lain. Tanpa disangka kemewahan yang diterima menjadikan kehidupannya berubah. Sha Lupa diri dan keluarga selama hampir dua tahun.
Menyingkap kisah lalu kata Ida, segalanya bermula apabila anak saudaranya itu berjinak-jinak menjadi affiliate di sebuah platform dalam talian.
Pada mulanya, sekadar mahu mencari pendapatan sampingan, tetapi tidak menyangka hasilnya menjadi luar biasa. Daripada untung ratusan ringgit, mencecah ratusan ribu ringgit.
Kehidupan anak saudara yang dahulunya sederhana, mula berubah. Apa yang dahulunya mampu dipandang, kini mudah dibeli.
“Apa yang saya lihat bukan pada gaya hidup, tetapi pada diri anak saudara . Sha mula berubah sikap. Jika dahulu keluarga menjadi keutamaan, menjadi sebaliknya. Anak saudara saya berubah sepenuhnya. Pergaulan semakin liar dan tidak terkawal,” ujar Ida .
Kehidupan Sha berubah dengan begitu pantas. Keluarga mereka sebenarnya tumpang gembira dengan perubahan hidup anak saudaranya itu.
Namun tanpa disedari, kemewahan yang pada awalnya dianggap sebagai rezeki, mula menjadi satu ujian besar kepada Sha. Perubahan itu berlaku sedikit demi sedikit. Sha yang dahulunya lemah lembut mula berubah menjadi kasar dan degil.
“Setiap hari Sha sibuk mengejar jualan dan pendapatan. Masa yang sepatutnya diberikan kepada keluarga, terutama anak dan suami semakin berkurangan,” ujarnya.
Paling mengejutkan seluruh ahli keluarga lain ialah apabila Sha mula mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada tiga anak yang masih kecil.
Anak-anak yang berusia tiga, tujuh dan 12 tahun yang memerlukan perhatian dan kasih sayang seorang ibu mula berasa semakin jauh.
Paling tidak boleh diterima, anak saudaranya itu semakin kurang menghormati suami sendiri, Munir (bukan nama sebenar).
Sebelum itu, Sha mengambil keputusan meminta suami berhenti kerja dengan alasan pendapatannya sebagai affiliate sudah cukup menampung keluarga. Sha mahu suami memberikan sepenuh perhatian kepada urusan rumah tangga dan anak-anak.
Pada awalnya keputusan itu kelihatan seperti satu peluang untuk keluarga mereka mengatur kehidupan lebih baik.
Munir pula setuju dengan harapan dapat membantu menguruskan keluarga dan memberi ruang kepada anak saudara untuk mengembangkan perniagaan.
Namun, keadaan berubah apabila Sha semakin berjaya. Pendapatan yang tinggi telah mengubah cara Sha melihat kedudukannya dalam rumah tangga.
Suami yang dahulu menjadi tempat bergantung kini seakan-anak tidak lagi mendapat penghormatan sewajarnya. Perbualan yang dahulunya mesra, sering kali bertukar pertengkaran. Nasihat suami tidak lagi diterima.
Lebih menyedihkan, seolah-olah pendapatan yang lebih besar memberikan hak kepada Sha untuk menentukan segala-galanya.
Menurut Ida, sebagai ibu saudara paling rapat, dia benar-benar sedih dengan perubahan yang berlaku. Ida yang juga bergiat aktif dalam bidang affiliate di platform sama sangat gembira dan bersyukur dengan pencapaian anak saudara.
Namun dia tidak pernah menyangka, apabila rezeki semakin banyak, Sha semakin lupa diri.
Seluruh keluarga terutama kakaknya yang tinggal di kampung sangat bimbangkan perubahan anak perempuannya.
Sebagai ibu saudara yang paling rapat, dia sebenarnya sudah beberapa kali menasihati Sha.
Bukan kerana iri hati melihat perubahan hidup Sha. Bukan juga tidak suka melihat anak saudaranya itu berjaya, sebaliknya kerana sayang.
Paling menyedihkan, Sha bukan sahaja tidak mendengar nasihat, malah sanggup memutuskan hubungan dengan Ida.
“Sepanjang tempoh itu nombor telefon saya disekat. Panggilan tidak dijawab, mesej tidak dibalas,” ujarnya.
Akhirnya beberapa ketika dia memilih untuk menjauh dan berdiam diri.
Dalam tempoh itu juga, rumah tangga mula bergoyang, kehidupan Sha semakin sukar dikawal. Sha mula berani keluar ke tempat-tempat hiburan, berkawan tanpa batas.
“Saya hanya mampu mendengar dari jauh dengan hati yang berat dan sentiasa berdoa agar suatu hari anak saudara kembali ke pangkal jalan,” ujarnya lagi.
Kata Ida, di sebalik apa yang berlaku, dia tetap bersyukur.
Walaupun Sha kembali ke pangkuan keluarga pada pertengahan Ogos lalu dalam keadaan sakit, dia tetap melihat keadaan itu daripada sudut berbeza.
“Saya bersyukur kerana Allah masih memberi Sha peluang untuk insaf dan kembali kepada keluarga.
“Saya tidak menggangap penyakit yang menimpa Sha sebagai hukuman. Hanya Allah yang mengetahui rahsia di sebalik setiap ujian.
“Kami seisi keluarga sentiasa berdoa mudah-mudahan Sha diberi kekuatan untuk berubah.
“Kembali memberi perhatian keluarga terutama suami dan anak-anak,” ujarnya mengakhir perbualan lewat petang itu.
Sesungguhnya harta dan anak-anak merupakan nikmat, tetapi kedua-duanya juga adalah amanah dan ujian.
Sebagaimana Firman Allah SWT, “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang lebih besar,”-(Surah AL-Anfal ayat 28).-UTUSAN











