WASHINGTON: Seorang ahli pasukan keselamatan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance digantung kerja dan kini berada di bawah siasatan kerana didakwa membocorkan maklumat sensitif, menurut Perkhidmatan Rahsia AS (USSS).
Butiran terperinci mengenai maklumat yang dibocorkan itu masih belum didedahkan.
“Sebarang tingkah laku yang berpotensi mengancam keselamatan individu di bawah perlindungan tidak akan ditoleransi,” kata jurucakap USSS, Anthony Guglielmi.
Namun, beliau tidak menyatakan maklumat khusus yang telah dibocorkan itu.
Bagaimanapun, rangkaian televisyen AS, MS NOW minggu lalu menerbitkan satu laporan yang memetik sumber tidak dinamakan, merujuk dakwaan bahawa sebilangan ahli pasukan keselamatan Vance berasa tidak puas hati dengan urusan perjalanan keluarga Vance.
Menurut laporan CNN, penggantungan ejen berkenaan mempunyai kaitan dengan penerbitan laporan tersebut.
Berdasarkan laporan MS NOW, ejen- ejen itu telah meluahkan kebimbangan secara dalaman mengenai beberapa siri perjalanan keluarga Vance.
Ia termasuk rancangan penerbangan helikopter tentera ke kelas golf anak lelaki Vance yang masih kecil dan urusan keluarga Naib Presiden itu mencari kediaman baharu di sekitar kawasan Washington DC.
Insiden ini berlaku ketika pegawai-pegawai agensi keselamatan itu memberi amaran mengenai peningkatan ketara ancaman terhadap individu di bawah perlindungan mereka termasuk Presiden Donald Trump.
Vance dan keluarganya diwajibkan menerima kawalan keselamatan 24 jam dari USSS. – AGENSI










