KITA berbangga apabila Malaysia berjaya meningkatkan kedudukan tujuh anak tangga kepada tangga ke-27 daripada tangga ke-34 dalam Kedudukan Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) Dunia, Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) 2026.
Kita juga teruja apabila bilangan pusat data yang mula beroperasi di negara terus meningkat dengan 57 sudah beroperasi dan 60 lagi pusat data berada dalam pelbagai peringkat pembangunan.
Secara ringkasnya, pusat data ialah jantung kepada dunia digital yang membolehkan pelbagai perkhidmatan dalam talian beroperasi sepanjang masa.
Namun dalam keterujaan kita meraikan pencapaian tersebut jangan sesekali lupa siri serangan siber bertubi-tubi yang melanda negara sejak kebelakangan ini, termasuk terhadap beberapa sistem kewangan dan perbankan untuk mencuri data penting rakyat Malaysia amat membimbangkan.
Ironinya, kebimbangan ini mempunyai asas yang jelas apabila Pusat Kawalan dan Penyelarasan Siber Negara (NC4) di bawah Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) merekodkan sebanyak 3,076 insiden keselamatan siber pada 2024 sebelum meningkat kepada 5,837 insiden pada 2025.
Bagi tempoh Januari hingga September 2026 pula, sebanyak 5,110 insiden direkodkan. Walaupun tidak semua insiden melibatkan pencerobohan yang berjaya, angka ini tetap menunjukkan betapa seriusnya keperluan untuk memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan siber negara.
Trend serangan siber di negara ini juga selari dengan siri serangan di peringkat global ketika ini. Gelombang serangan siber yang berlaku di Eropah baru-baru ini menyasarkan sistem penyejukan dan peti sejuk beku di pasar raya utama dan antara negara yang terjejas ialah Belgium, Estonia, Finland, Ireland, Itali, Luxembourg, Belanda, Portugal dan Sweden.
Kesan ketara serangan ini ialah suhu peti sejuk dan ruang penyimpanan makanan berubah secara mendadak sekali gus menyebabkan makanan mudah rosak dan terpaksa dibuang.
Situasi ini turut menggugat rantaian bekalan makanan dunia serta menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna dan kestabilan ekonomi.
Manakala di negara kita pula, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman merekodkan kerugian akibat ancaman keselamatan siber mencecah RM79.16 juta dalam tempoh 22 hari, dengan kes kehilangan aset mata wang kripto dan wang dalam akaun bank.
Dilaporkan sebanyak 16 laporan polis diterima bagi tempoh 10 hingga 31 Oktober lalu termasuk 11 kes melibatkan mata wang kripto dengan kerugian RM42.82 juta akibat kompromi keselamatan perkakasan dan kehilangan aset digital berkenaan.
Selain itu kita juga dikejutkan dengan kes ancaman siber melibatkan penggodaman paparan skrin LED sehingga memaparkan kandungan tidak wajar dan lucah di Kluang dan Bandar Sunway, Selangor.
NASIB BAIK ADA UNDANG-UNDANG
Dalam konteks ini apa yang melegakan ialah negara mempunyai kerangka perundangan yang jelas melalui Akta Keselamatan Siber 2024 yang mewajibkan entiti infrastruktur maklumat kritikal negara mematuhi tata amalan keselamatan siber yang telah ditetapkan.
Hakikatnya tugas menangani ancaman siber ini tidak boleh diletakkan di bahu pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya setiap organisasi baik agensi kerajaan mahupun syarikat korporat terutamanya institusi kewangan serta individu rakyat Malaysia perlu sama-sama meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsagaan untuk berhadapan dengan pelbagai ancaman digital.
Hal ini penting kerana serangan, ancaman serta pencerobohan yang berlaku boleh melumpuhkan operasi sesebuah organisasi, selain memberi kesan nyata kepada kehidupan rakyat mencakupi aspek kesihatan, tenaga, bekalan air serta telekomunikasi.
Kita perlu ambil iktibar segera dengan apa yang melanda Eropah dan sedar betapa serangan siber boleh memberi kesan langsung kepada operasi fizikal organisasi dan perkhidmatan penting.
Bagi organisasi misalnya, pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menyediakan Garis Panduan Kesiapsiagaan dan Pengendalian Ancaman Keselamatan Siber sebagai rujukan dan panduan penting dalam memperkasa keupayaan perlindungan sistem organisasi masing-masing.
Perlu difahami ialah tiada satu sistem yang kebal sepenuhnya daripada ancaman siber. Justeru setiap organisasi tidak boleh leka dan berpuas hati dengan usaha yang telah dilaksanakan, sebaliknya perlu melipatgandakan inisiatif bagi memperkukuh sistem pertahanan digital masing-masing secara berterusan.
Hal ini sangat mustahak kerana trend ancaman siber semakin meningkat, malah penjenayah siber juga dilhat semakin kreatif dalam menceroboh sistem yang ada.
Serangan ransomware misalnya merupakan antara ancaman siber serius yang boleh melumpuhkan operasi sesebuah organisasi apabila data dan sistem maklumat dikunci atau disulitkan oleh penjenayah siber, selain risiko kebocoran maklumat sulit dan tuntutan wang tebusan.
Ancaman ini bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan, malah boleh menjejaskan kesinambungan perkhidmatan, reputasi dan kepercayaan pelanggan atau masyarakat.
Justeru, setiap organisasi perlu mempunyai tahap kesiapsiagaan yang tinggi melalui pengukuhan sistem keselamatan teknologi maklumat (ICT), sandaran data secara berkala, latihan kesedaran keselamatan siber kepada warga kerja serta pelan tindak balas insiden yang berkesan bagi memastikan organisasi mampu mencegah, menghadapi dan memulihkan operasi sekiranya berlaku serangan.
Maka dalam konteks ini tanggungjawab keselamatan siber organisasi tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pasukan teknikal tetapi perlu dipukul kepimpinan tertinggi organisasi sebagai fokus utama pada ketika ini demi kelangsungan operasi dan perkhidmatan institusi.
Misalnya proses penilaian risiko terhadap ancaman yang mungkin berlaku, mewujudkan dasar keselamatan siber organisasi, menyediakan pelan kesinambungan perkhidmatan, memastikan garis panduan pihak berkuasa dipatuhi, menyediakan sumber kewangan dan infrastruktur yang diperlukan serta melatih bakat perlu menjadi agenda utama pihak pengurusan organisasi.
Secara umumnya, setiap organisasi perlu segera mengenal pasti kelemahan sistem, aset digital, maklumat sulit dan potensi ancaman yang boleh menjejaskan operasi organisasi.
Selain itu, perlu memastikan sistem operasi, aplikasi dan perisian keselamatan sentiasa dikemas kini bagi menutup ruang kelemahan yang boleh dieksploitasi oleh penjenayah siber.
Pada masa sama, perhatian serius juga perlu diberikan kepada proses menyediakan salinan sandaran data penting dan mengujinya supaya organisasi dapat memulihkan maklumat sekiranya berlaku serangan ransomware atau kehilangan data secara mengejut.
Dalam konteks yang sama peranan warga organisasi perlu digembleng supaya sama-sama membantu pihak pengurusan. Untuk itu, organisasi perlu menyediakan latihan berkala kepada pekerja tentang phishing, penipuan dalam talian, pautan berbahaya, keselamatan e-mel dan pengendalian maklumat sulit.
Apa yang diharapakan ialah perlu mewujudkan budaya setiap warga organisasi memahami keselamatan siber ialah tanggungjawab bersama.
Tuntasnya, kejayaan Malaysia membangunkan ekonomi digital dan memperluas penggunaan teknologi baharu perlu bergerak seiring dengan keupayaan melindungi keselamatan digital negara.
Setiap organisasi perlu membina tiga lapisan pertahanan utama, iaitu sistem teknologi yang kukuh, warga kerja yang celik keselamatan siber dan tadbir urus yang berkesan. Kita tidak mahu kemajuan digital yang dibanggakan hari ini akhirnya menjadi ruang kelemahan yang boleh dieksploitasi oleh penjenayah siber. –UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).











