PENDIGITALAN mengubah landskap industri media dengan pantas, sekali gus menuntut institusi kewartawanan Melayu menyesuaikan operasi, model perniagaan dan pendekatan penyampaian berita.
Perubahan ini bukan sekadar peralihan daripada penerbitan bercetak kepada platform digital tetapi turut menentukan keupayaan media untuk kekal relevan, dipercayai dan berdaya saing.
Sejarah persuratkhabaran Melayu membuktikan media mempunyai peranan besar dalam membentuk pemikiran masyarakat.
Sejak kemunculan penerbitan seperti Al-Imam, Neracha, Majlis dan Warta Malaya, akhbar menjadi saluran menyebarkan pemikiran pembaharuan, pendidikan serta kesedaran sosial.
Media turut menyediakan ruang kepada masyarakat membincangkan isu bahasa, ekonomi, politik dan masa depan negara.
Bagaimanapun, perubahan tabiat pembaca serta penguasaan media sosial telah mengubah cara masyarakat mendapatkan maklumat.
Persaingan mendapatkan perhatian pengguna, perubahan model pengiklanan dan kemunculan pelbagai platform digital memberi tekanan kepada organisasi media tradisional.
Kegagalan menyesuaikan diri dengan perubahan ini boleh menjejaskan kedudukan kewangan serta kelangsungan sesebuah institusi.
Justeru, organisasi media perlu memperkukuh kehadiran digital melalui penerbitan kandungan berkualiti, pelaporan pantas dan penyiasatan mendalam. Penggunaan teknologi juga perlu disesuaikan dengan keperluan pembaca.
Pada masa sama, model pendapatan perlu dipelbagaikan supaya tidak terlalu bergantung pada pengiklanan dan edaran bercetak. Pembangunan langganan digital, pemahaman terhadap data pembaca serta penghasilan kandungan khusus boleh membantu memperkukuh kedudukan kewangan organisasi.
Kerajaan juga boleh menyokong perubahan ini melalui dasar media nasional, insentif transformasi digital, geran kewartawanan kepentingan awam dan latihan profesional. Namun, bantuan tersebut perlu dilaksanakan secara telus tanpa menjejaskan kebebasan editorial.
Sektor korporat, institusi pengajian tinggi (IPT) dan masyarakat turut berperanan melalui kerjasama, penyelidikan serta sokongan terhadap media berkualiti.
Dalam era digital, kejayaan media tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah capaian semata-mata. Ketepatan laporan, integriti editorial, keupayaan mengawasi kuasa dan membentuk wacana awam tetap menjadi ukuran utama kewibawaan kewartawanan.
Pendigitalan perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh institusi kewartawanan Melayu agar terus relevan, berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada pembinaan masyarakat serta masa depan negara. –UTUSAN
DR. SHAFEZAH ABDUL WAHAB
Pensyarah Kanan,
Fakulti Komunikasi & Pengajian Media,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka











