Mama Vida cantik, punyai pegangan agama yang kuat dan baik hati - Payish - Utusan Malaysia

Mama Vida cantik, punyai pegangan agama yang kuat dan baik hati – Payish

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anak sulung Datuk Fazley Yaakob, Ahmad Fariedz Shah atau Payish, menyambut baik keputusan bapanya memilih usahawan terkenal, Datuk Seri Vida (DSV), sebagai wanita yang bakal menjadi suri hati.

Payish berkata, dia berasa gembira dan berpuas hati dengan pilihan bapanya itu, lebih-lebih lagi apabila hubungan berkenaan turut mendapat penerimaan ahli keluarga, termasuk adik-adiknya.

Menurutnya, perkara paling penting adalah kebahagiaan semua pihak, khususnya bapanya, DSV serta anak-anak yang bakal menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Secara keseluruhannya, saya sangat gembira dan berpuas hati kerana saya mahu Dida bahagia, saya mahu Mama Vida juga bahagia. Paling penting, saya dan Cik B dapat menerima hubungan ini, begitu juga adik-adik saya yang selesa dengan keputusan tersebut.

“Saya juga sangat gembira apabila Cik B berkata ya kerana sebenarnya saya agak gementar memikirkan kemungkinan jawapannya, sama ada dia akan bersetuju atau menolak. Jadi, saya takut juga pada mulanya,” katanya.

Berkongsi pandangannya mengenai DSV, Payish berkata, perkara yang paling menarik perhatiannya ialah kasih sayang yang dicurahkan wanita itu kepada Dida, selain pegangan agama serta keperibadiannya yang pemurah.

Katanya, dia dapat melihat sendiri bagaimana DSV memberikan perhatian dan kasih sayang kepada Dida, selain mengagumi sikap wanita itu yang tidak lokek berkongsi rezeki dengan orang lain.

“Apa yang saya suka tentang Mama Vida ialah saya dapat melihat dia memang memberikan banyak kasih sayang kepada Dida. Saya juga dapat melihat pegangan agamanya kuat kerana Mama Vida menunaikan solat setiap hari.

“Dia seorang yang manja, beriman, sangat cantik dan baik hati. Dia juga suka berkongsi dengan orang lain. Saya selalu melihat dia memberikan wang, pakaian dan hadiah kepada orang lain. Dia memang seorang yang sangat baik hati dan pemurah,” katanya.

Dalam pada itu, Payish turut mendedahkan dia sudah mengetahui perancangan Dida untuk melamar DSV sejak kira-kira sebulan lalu, bermula daripada peringkat awal perbincangan sehinggalah rancangan berkenaan dimuktamadkan.

Jelasnya, bapanya terlebih dahulu mendapatkan pandangannya mengenai hasrat untuk melamar DSV sebelum mereka berbincang mengenai kemungkinan wanita itu menerima atau menolak lamaran tersebut.

“Saya mula mengetahui perancangan itu kira-kira tiga minggu sebelum ini, ketika Dida masih di peringkat awal merancang. Dia memberitahu saya bahawa dia sedang memikirkan untuk melamar Mama Vida dan bertanyakan pendapat saya.

“Saya juga bertanyakan sama ada dia fikir Mama Vida akan menerima atau menolak lamaran itu serta bila dia mahu melaksanakannya.

”Jadi, saya mengikuti keseluruhan proses sejak daripada peringkat awal dia mendapatkan pandangan saya sehinggalah perancangan akhir dibuat. Secara keseluruhannya, proses itu mengambil masa kira-kira sebulan,” katanya.

Tambah Payish, adik-beradiknya yang lain turut mengetahui perancangan berkenaan, namun mereka diminta merahsiakannya daripada pengetahuan orang luar.

Malah, katanya, Dida turut memastikan Cik B dan Kacak selesa dengan keputusan tersebut memandangkan DSV merupakan ibu kepada kedua-duanya.

Mengulas harapannya terhadap perkahwinan yang bakal dibina itu, Payish berkata, dia dan adik-beradik sentiasa mendoakan agar segala urusan dipermudahkan serta hubungan berkenaan berkekalan hingga ke akhir hayat.

“Kami semua berdoa agar segala-galanya berjalan lancar dan hubungan ini berkekalan sehingga ke penghujungnya, dari dunia hingga akhirat. Kami memang sama-sama mendoakan yang terbaik buat mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Payish mengakui kehadiran Cik B dan Kacak sebagai ahli keluarga baharu memberikan kelegaan kepadanya selepas sekian lama memikul tanggungjawab sebagai anak sulung.

Katanya, sepanjang hidup, dia tidak pernah mempunyai abang atau kakak untuk dijadikan tempat mendapatkan pandangan dan nasihat kerana perlu sentiasa menjaga adik-adiknya.

Justeru, kehadiran dua individu itu membolehkannya merasai pengalaman mempunyai abang dan kakak yang boleh dijadikan tempat merujuk, selain menambah kemeriahan dalam keluarga.

“Saya memang anak sulung dan tidak pernah mempunyai kakak atau abang. Sepanjang hidup, saya sentiasa perlu menjaga adik-adik dan tidak mempunyai sesiapa untuk dijadikan tempat bergantung atau mendapatkan pandangan sebagai seorang abang atau kakak.

“Tetapi sekarang, dengan adanya Cik B dan Kacak, saya boleh berasa lebih tenang sedikit. Saya kini boleh mendapatkan pandangan daripada seorang abang dan juga seorang kakak.

“Perkara ini benar-benar melegakan kehidupan saya. Saya juga sangat gembira kerana kini mempunyai lebih ramai ahli keluarga di rumah serta lebih ramai orang untuk bergembira bersama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini