SEJAUH manakah pembangunan Pusat Data Kecerdasan Buatan (AI) mampu memberikan manfaat sebenar kepada Malaysia?
Menurut data Epoch AI, dua pusat data AI paling berkuasa di Malaysia terletak di Johor, iaitu DayOne Nusajaya yang menduduki tangga keenam dan DayOne Kempas di tangga kelapan dunia. Pencapaian ini sekali gus meletakkan Johor sebagai antara lokasi penting dalam landskap infrastruktur AI di peringkat global.
Walau bagaimanapun, pembangunan Pusat Data AI tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pelaburan atau bilangan bangunan pusat data semata-mata. Sebaliknya, sejauh mana pelaburan tersebut dapat menghasilkan pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran tempatan dan peningkatan keupayaan inovasi negara.
Sekiranya Malaysia hanya menyediakan tanah, bekalan elektrik dan kemudahan fizikal kepada syarikat antarabangsa, manfaat jangka panjang kepada ekosistem teknologi tempatan mungkin menjadi terhad.
Oleh itu, pembangunan Pusat Data AI perlu disertai strategi yang jelas bagi memastikan Malaysia bukan sekadar menjadi lokasi penyimpanan dan pemprosesan data, tetapi turut muncul sebagai negara yang berupaya membangunkan teknologi AI sendiri.
Namun, sistem pengkomputeran AI menggunakan ribuan Unit Pemprosesan Grafik (GPU) yang memerlukan bekalan elektrik yang tinggi untuk menjalankan proses pengiraan dan mengekalkan kestabilan operasi.
Haba yang terhasil daripada peralatan tersebut memerlukan sistem penyejukan yang cekap. Sesetengah teknologi penyejukan turut menggunakan air dalam jumlah yang besar, bergantung pada reka bentuk sistem dan keadaan persekitaran.
Oleh itu, penggunaan tenaga boleh baharu, sistem penyejukan cekap tenaga dan pemantauan penggunaan sumber secara berterusan perlu dijadikan sebahagian daripada strategi pembangunan.
Dalam pengurusan pusat data, penilaian prestasi pusat data wajar mengambil kira petunjuk seperti kecekapan penggunaan tenaga (PUE) dan kecekapan penggunaan air (WUE). Pembangunan teknologi digital tidak seharusnya berlaku dengan mengorbankan kelestarian alam sekitar.
Isu keselamatan data dan serangan siber juga menjadi antara cabaran terbesar dalam pembangunan Pusat Data AI, pengkomputeran awan dan infrastruktur digital.
Sistem AI lazimnya memproses pelbagai jenis maklumat, termasuk data perniagaan, rekod kesihatan, maklumat kewangan dan data peribadi pengguna. Sekiranya pengurusan keselamatan tidak dilaksanakan dengan berkesan, pusat data boleh menjadi sasaran serangan siber, kebocoran maklumat dan penyalahgunaan data.
Lebih membimbangkan, kebergantungan yang tinggi terhadap infrastruktur dan teknologi asing berpotensi menjejaskan kedaulatan digital negara, khususnya dari aspek kawalan data, keselamatan maklumat dan keupayaan Malaysia membangunkan teknologi sendiri.
Malaysia perlu memastikan pembangunan Pusat Data AI mematuhi keperluan keselamatan siber, perlindungan data peribadi dan peraturan berkaitan pengurusan maklumat.
Pembangunan kepakaran tempatan dalam keselamatan AI, tadbir urus data dan pengauditan algoritma perlu diperkukuh.
Kedaulatan digital bukan sekadar bermaksud data disimpan di dalam negara tetapi turut melibatkan keupayaan mengawal akses, penggunaan, pemprosesan dan perlindungan data tersebut.
Kerajaan, industri dan universiti perlu bergerak secara bersama untuk memastikan pembangunan infrastruktur AI turut menyumbang kepada peningkatan keupayaan penyelidikan, pemindahan teknologi dan pembangunan inovasi tempatan.
Paling penting, manfaat pembangunan Pusat Data AI perlu dirasai oleh masyarakat melalui peningkatan kualiti perkhidmatan kesihatan, pendidikan, pengangkutan, pertanian dan pengurusan bencana. –UTUSAN
DR. SITI NURULAIN MOHD. RUM
Jabatan Sains Komputer,
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat,
Universiti Putra Malaysia (UPM)










