Apabila bahasa ibunda mati, budaya turut hilang

Apabila bahasa ibunda mati, budaya turut hilang

SETIAP komuniti perlu memainkan peranan memelihara bahasa sebagai warisan budaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAHASA ibunda sering dianggap urusan keluarga. Anak bercakap dengan ibu bapa dalam bahasa tertentu. Apabila dewasa, dia memilih bahasa yang lebih sesuai digunakan di sekolah, tempat kerja atau ruang awam.

Pilihan itu kelihatan peribadi. Namun, apabila semakin ramai anggota sesuatu masyarakat membuat pilihan yang sama, sebuah bahasa minoriti boleh kehilangan penuturnya dalam tempoh beberapa generasi.

Kehilangan itu bukan sekadar pertukaran perkataan. Bahasa menyimpan cara manusia menamakan alam, mengelaskan tumbuhan, mengenali perubahan musim, merawat penyakit dan mentafsir hubungan sesama manusia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sesuatu istilah mungkin merujuk kepada jenis rotan, keadaan sungai atau kegunaan akar tertentu yang tidak ada padanan tepat dalam bahasa lain. 

Apabila istilah itu tidak lagi difahami, pengetahuan yang terkandung di dalamnya turut menjadi kabur.

Laporan Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertajuk Policy Brief No. 151, Why Indigenous Languages Matter (10 Februari 2023) menyatakan, kira-kira 40 peratus daripada 6,700 bahasa di dunia berada dalam bahaya untuk lenyap.

Dokumen itu mengingatkan hakikat bahasa membawa budaya, ingatan kolektif dan nilai masyarakat. 

Kebanyakan bahasa yang terancam ialah bahasa masyarakat peribumi. Angka tersebut bukan ramalan masa hadapan, sebaliknya menggambarkan kehilangan yang sedang berlaku sekarang.

Tentulah Malaysia tidak terkecuali. Kepelbagaian bahasa di Sabah dan Sarawak merangkumi banyak bahasa peribumi, sementara di Semenanjung, pelbagai bahasa sukuan dituturkan masyarakat Orang Asli.

Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO) dalam laporan bertajuk Atlas of the World’s Languages in Danger (2010) mencatatkan tekanan yang dihadapi bahasa-bahasa di Malaysia Timur akibat pengembangan penggunaan bahasa Melayu serta kemerosotan wilayah dan dialek bagi kelompok bahasa Orang Asli.

Laporan itu turut mengingatkan, bahasa yang mempunyai ramai penutur sekalipun boleh kehilangan ruang penggunaan jika generasi muda tidak lagi menguasai bahasa ibunda itu dengan baik.

Kajian bertajuk Linguistic Research on the Orang Asli Languages in Peninsular Malaysia dalam Journal of Language and Linguistic Studies (2022) meneliti perkembangan penyelidikan linguistik terhadap bahasa Orang Asli.

Penyelidikan dan dokumentasi memang penting tetapi usaha merakam senarai kosa kata sahaja tidak memadai. Bahasa hidup melalui perbualan, gurauan, cerita, lagu, petua dan penggunaannya dalam urusan harian.

Rakaman yang tersimpan di arkib tidak dapat menggantikan masyarakat yang terus menuturkan sesuatu bahasa.

Saya ambil contoh kaum India di Malaysia. Bahasa Tamil mempunyai kedudukan lebih luas dalam kehidupan masyarakat India tetapi bahasa Malayalam, Telugu, Punjabi dan Bengali turut menjadi sebahagian daripada sejarah keluarga serta pembentukan komuniti India di negara ini.

Bahasa-bahasa itu tidak boleh disatukan di bawah label umum ‘bahasa India’ atau ‘bahasa Tamil’ seolah-olah pengalaman dan sejarahnya serupa.

Kajian Kathreine Deva Babu Polamarachetty dan Patricia Nora Riget  bertajuk Language Shift and Maintenance: A Case Study of the Telugu Community in Bagan Datoh, Perak (Malaysia) di Journal of Modern Languages (2023) mendapati bahasa Telugu masih kukuh dalam komunikasi di rumah, namun peralihan berlaku dalam aspek literasi.

Sementara itu, Manjet Kaur Mehar Singh dan Naginder Kaur dalam kajian bertajuk Sustainability of Punjabi Language among Sikh Youth: A Malaysian Perspective di jurnal Sikh Formations (2021) mendapati golongan muda lebih cenderung menggunakan bahasa Punjabi dengan ibu bapa dan datuk nenek serta bahasa Inggeris dengan adik-beradik.

Kajian akademik seperti ini menunjukkan, kemerosotan bahasa ibunda tidak semestinya bermula apabila tiada sesiapa lagi mampu bertutur. Ia boleh bermula apabila bahasa itu hanya digunakan untuk bercakap dengan orang tua tetapi tidak lagi menjadi bahasa membaca, menulis, bergurau atau berbincang tentang kehidupan semasa.

Bahasa itu masih kedengaran, namun wilayah penggunaan semakin mengecil. Maka, usaha pemeliharaan perlu melangkaui penerbitan kamus atau penganjuran persembahan kebudayaan.

 

BAHASA HIDUP MELALUI PENUTURNYA 

Rakaman cerita lisan, lagu, istilah tumbuhan dan pengetahuan setempat boleh dibuat dengan persetujuan penutur serta penglibatan komuniti. Bahan itu perlu disimpan dalam bentuk yang boleh dicapai oleh generasi seterusnya.

Sekolah, perpustakaan, universiti, persatuan budaya dan keluarga boleh menyediakan ruang untuk kanak-kanak mendengar serta menggunakan bahasa ibunda, bukan sekadar menghafal beberapa ungkapan untuk acara khas.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menetapkan 2022 hingga 2032 sebagai Dekad Antarabangsa Bahasa-Bahasa Orang Asal. 

Dekad ini bertujuan menggerakkan usaha pemeliharaan, penghidupan semula dan sokongan terhadap bahasa peribumi.

Namun, pengiktirafan antarabangsa hanya ada nilai dan makna jika diterjemahkan kepada tindakan tempatan yang berterusan.

Satu persoalan timbul dalam minda semasa saya membuat kajian bagi topik ini. Apabila bahasa sesuatu komuniti direkodkan oleh penyelidik, siapakah yang memiliki hak cipta terhadap rakaman, cerita dan pengetahuan itu?

Dokumentasi mesti menghormati hak penutur, privasi dan adat komuniti. Penyelidikan tentang bahasa Orang Asli di Malaysia pada masa lalu menimbulkan persoalan etika seperti persetujuan termaklum dan perlindungan maklumat.

Masyarakat yang bahasanya dikaji tidak sepatutnya sekadar menjadi sumber data. Sebaliknya, mereka mesti berhak terlibat dalam menentukan bagaimana warisan itu disimpan dan digunakan.

Bahasa tidak mati hanya kerana kamusnya tiada edisi baharu. Bahasa mati apabila anak-anak tidak lagi memerlukannya untuk bercakap dengan keluarga, apabila cerita datuk nenek tidak difahami dan apabila pengetahuan yang dahulu diwariskan melalui kata-kata tidak lagi dapat disampaikan.

Apabila penutur terakhir sesuatu bahasa meninggal dunia, komuniti terbabit bukan sahaja kehilangan satu cara menyebut sesuatu benda. Ia kehilangan satu cara melihat dunia.

Persoalannya, berapa banyak komuniti minoriti yang sanggup kita biarkan lenyap sebelum kita mula menyedari kepentingan memelihara bahasa ibunda? –UTUSAN

 

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini