Suatu ketika dahulu, manusia dalam kegiatan ekonomi hanya diiktiraf sebagai sumber pengeluaran dalam bentuk tenaga buruh. Peranan mereka sekadar melaksanakan tugas dan pekerjaan bagi memenuhi keperluan pengeluaran, tanpa mengambil kira potensi yang lebih besar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi.
Namun, perspektif itu mula berubah sekitar 1970-an apabila tenaga buruh semakin diiktiraf sebagai sumber manusia atau human resources. Kesedaran bahawa latihan, pendidikan serta peningkatan mutu kehidupan, termasuk aspek perumahan dan kesihatan, mampu meningkatkan produktiviti pekerja telah mengubah pendekatan terhadap pembangunan tenaga kerja.
Pengiktirafan terhadap peranan manusia dalam pembangunan ekonomi dan sosial menjadi semakin ketara pada 1990-an apabila konsep sumber manusia berkembang menjadi modal insan atau human capital. Kini, muncul pula istilah talent atau bakat, diikuti konsep talent management yang merujuk kepada usaha mengenal pasti, membangunkan dan mengekalkan individu berkemahiran tinggi.
Bakat menjadi aset strategik yang amat diperlukan oleh setiap negara untuk menghadapi persaingan antarabangsa, menguasai teknologi baharu serta meningkatkan taraf kehidupan masyarakat.
Kemajuan modal insan Bumiputera
Dalam konteks Malaysia, mutu modal insan Bumiputera telah mengalami perubahan besar sejak negara mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan telah membawa tanggungjawab baharu kepada kerajaan untuk memperluas akses pendidikan dan meningkatkan kualiti sumber manusia, khususnya dalam kalangan Bumiputera.
Keperluan ini menjadi semakin mendesak apabila struktur ekonomi negara berubah daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi perindustrian dan perkhidmatan. Sektor seperti pembuatan, perbankan, kewangan, perakaunan, kesihatan dan perubatan memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kelayakan akademik, kemahiran teknikal serta kepakaran profesional yang lebih tinggi.
Kepentingan pendidikan tinggi dalam meningkatkan keupayaan ekonomi turut disokong oleh satu analisis yang dibentangkan oleh Dr. Nur Surayya Mohd. Saudi, Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dalam persidangan Persatuan Ekonomi ASEAN baru-baru ini.
Kajian tersebut mendapati terdapat hubungan yang kuat antara pendidikan tinggi dengan peningkatan produktiviti sektor pembuatan berteknologi tinggi di Malaysia. Dapatan ini membuktikan pelaburan dalam pendidikan bukan sekadar meningkatkan taraf individu, malah menjadi asas kepada pengukuhan produktiviti dan daya saing industri negara.
Dalam usaha membangunkan profesional Bumiputera, kita tidak boleh melupakan sumbangan Allahyarham Tun Arshad Ayub yang memainkan peranan penting dalam penubuhan Institut Teknologi MARA (ITM) pada 1960-an, yang kemudiannya berkembang menjadi Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Penubuhan institusi tersebut merupakan satu langkah strategik untuk melahirkan lebih ramai profesional dan tenaga teknikal Bumiputera bagi memenuhi keperluan industri yang semakin kompleks.
Jika pada awal 1970-an peratusan Bumiputera dalam kalangan profesional seperti arkitek, doktor perubatan, doktor pergigian, jurutera, akauntan dan juruukur dianggarkan hanya sekitar lima hingga enam peratus, angka tersebut kini dikatakan telah meningkat kepada lebih 55 hingga 60 peratus.
Walaupun angka ini perlu dilihat berdasarkan definisi dan kategori profesional yang digunakan, perkembangan tersebut menggambarkan satu pencapaian besar dalam usaha merapatkan jurang penyertaan ekonomi dan pendidikan antara kaum.
Pemilik perniagaan
Hari ini, semakin ramai profesional Bumiputera bukan sahaja berkhidmat dalam sektor awam dan swasta, malah berjaya membina kerjaya di luar negara. Perkembangan ini menunjukkan kepakaran dan kelayakan profesional Bumiputera semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Dalam negara pula, ramai profesional Bumiputera telah menubuhkan perniagaan berasaskan kepakaran masing-masing, termasuk dalam bidang perubatan, seni bina, kejuruteraan dan perundangan. Ada yang menjalankan perniagaan secara persendirian, manakala sebahagian lagi membentuk perkongsian profesional.
Pada masa sama, Bumiputera turut memainkan peranan penting dalam bidang sains dan teknologi, termasuk sebagai ahli akademik, penyelidik dan tenaga pakar di universiti awam, khususnya dalam fakulti kejuruteraan, perubatan, pergigian serta bidang sains seperti kimia dan fizik. Kumpulan ini mempunyai potensi besar untuk menghasilkan penyelidikan, inovasi dan harta intelek yang boleh dimanfaatkan oleh negara.
Kekayaan baharu
Inilah satu dimensi pembangunan modal insan Bumiputera yang perlu diberikan perhatian lebih serius, iaitu keupayaan menghasilkan dan memiliki harta intelek atau intellectual property (IP).
Dalam ekonomi moden, kekayaan sesebuah negara tidak lagi bergantung semata-mata kepada pemilikan tanah, bangunan, mesin dan modal kewangan. Sebaliknya, pengetahuan, teknologi, paten, reka bentuk, perisian dan inovasi semakin menentukan nilai sesuatu produk serta daya saing sesebuah syarikat.
Dalam sesetengah industri berteknologi tinggi, nilai harta intelek boleh menyumbang sebahagian besar daripada nilai keseluruhan sesuatu produk. Penguasaan teknologi dan pemilikan IP boleh menjana kekayaan jangka panjang.
Oleh itu, modal insan Bumiputera perlu bergerak melangkaui penguasaan kelayakan akademik dan kemahiran profesional. Mereka juga perlu membangunkan daya kreativiti, keupayaan mencipta teknologi serta kebolehan menghasilkan inovasi yang boleh dipatenkan dan dikomersialkan.
Penyelidikan dan pembangunan yang dilaksanakan penyelidik, universiti dan syarikat tempatan perlu mempunyai hala tuju jelas, bukan sekadar menghasilkan penerbitan akademik, tetapi turut mewujudkan produk, teknologi dan penyelesaian yang mempunyai nilai komersial. Harta intelek yang berjaya dibangunkan boleh menjadi aset ekonomi yang memberi pulangan berterusan kepada pencipta, syarikat dan negara.
Dalam hal ini, ekosistem inovasi negara perlu diperkukuh supaya penyelidik dan pencipta Bumiputera mempunyai akses kepada pembiayaan, kemudahan penyelidikan, perlindungan paten, kepakaran pengkomersialan serta rangkaian pasaran antarabangsa. Bagaimanapun, usaha membangunkan modal insan dan bakat Bumiputera tidak akan mencapai potensi sepenuhnya tanpa sistem ganjaran dan pengiktirafan yang sewajarnya.
Masyarakat kita masih kurang memberikan pengiktirafan kepada golongan ilmuwan, penyelidik, pencipta teknologi dan individu yang menyumbang kepada penghasilan ilmu serta inovasi.
Penghargaan sosial sering kali lebih tertumpu kepada pencapaian dalam bidang tertentu, sedangkan sumbangan golongan yang menghasilkan pengetahuan dan harta intelek juga amat besar kepada pembangunan negara. Lebih banyak penghormatan sepatutnya diberikan kepada pencipta ilmu, penyelidik berprestasi tinggi, inovator dan pemilik harta intelek yang berjaya.
Kejayaan penyelidik menghasilkan teknologi baharu seharusnya diberikan pengiktirafan setimpal dengan kejayaan seorang usahawan membangunkan syarikat besar.
Akhirnya, pembangunan modal insan Bumiputera perlu memasuki fasa baharu. Jika dahulu matlamat utamanya adalah melahirkan lebih ramai pekerja mahir dan profesional, kini tumpuan perlu diperluas kepada usaha melahirkan pencipta teknologi, pemilik harta intelek, inovator dan usahawan berasaskan pengetahuan.
Bumiputera tidak seharusnya hanya menjadi pengguna teknologi atau tenaga kerja dalam industri bernilai tinggi. Mereka perlu turut menjadi pencipta, pemilik dan peneraju kepada teknologi serta inovasi yang menentukan hala tuju ekonomi masa hadapan.
Inilah transformasi sebenar modal insan kepada modal kekayaan negara.
Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob ialah Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER)











