BAITULMUQADDIS: Tokoh politik Israel yang diberi mandat membentuk kerajaan baharu, Gadi Eisenkot, mempelawa parti Likud pimpinan Perdana Menteri sementara, Benjamin Netanyahu untuk mengadakan rundingan gabungan.
Menurut parti Yashar yang diterajui Eisenkot, rundingan yang dijadualkan pada Ahad itu membuktikan kesungguhan mereka untuk membentuk kerajaan campuran paling inklusif.
Bekas ketua tentera itu mempunyai tempoh sehingga Disember ini untuk menubuhkan pentadbiran baharu bagi menggantikan Netanyahu, selepas pilihan raya pada Oktober lalu gagal memberikan majoriti jelas kepada mana-mana blok politik.
Pengumuman berkenaan dibuat ketika kem gabungan Eisenkot yang merangkumi pelbagai aliran berdepan percanggahan pendapat sama ada mahu bekerjasama dengan parti ultra-Ortodoks, gabungan parti majoriti Arab atau membentuk kerajaan perpaduan nasional bersama blok Netanyahu.
“Dalam usaha meneroka setiap pilihan bagi membentuk kerajaan baharu, Eisenkot mengarahkan pasukan perunding parti untuk menjemput rakan sejawat mereka dari Likud ke siri rundingan maraton bermula dengan mesyuarat yang dijadualkan esok,” kata parti itu dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, bekas perdana menteri Naftali Bennett yang merupakan tokoh penting dalam kem Eisenkot pada Sabtu menggesa pembentukan kerajaan perpaduan Zionis yang diketuai Eisenkot, sambil menegaskan partinya enggan bekerjasama dengan Netanyahu mahupun blok pimpinannya.
Netanyahu sebelum ini giat mendesak penubuhan kerajaan perpaduan nasional yang didakwanya perlu bagi menjamin keselamatan Israel.
Tidak lama selepas pengumuman Eisenkot itu, Likud menggariskan syaratnya untuk membentuk kerajaan sedemikian bersama blok Eisenkot, termasuk tuntutan menghentikan semua serangan peribadi dan hasutan serta boikot politik terhadap Netanyahu dan kerajaan.
Eisenkot sebelum ini memberi bayangan bersedia membentuk kerajaan bersama ahli parti Likud, namun menolak untuk berkhidmat di bawah pentadbiran yang dipimpin sendiri oleh Netanyahu.
Likud turut menggesa satu deklarasi bersama bagi menyatakan komitmen terhadap kerajaan perpaduan yang merangkumi semua parti yang menyokong kewujudan Israel sebagai negara bangsa bagi orang Yahudi, tanpa penyertaan parti-parti Arab.
Netanyahu dan sekutunya berulang kali mengkritik pemimpin parti Arab kerana enggan melabelkan Hamas sebagai kumpulan pengganas susulan serangan pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel, walaupun kesemua pemimpin parti Arab telah mengecam serangan berkenaan.- AGENSI











